KERAJAAN UK pada Ahad mengumumkan peningkatan denda untuk majikan dan tuan tanah yang membenarkan pendatang tanpa izin bekerja untuk mereka atau menyewa hartanah mereka, sebagai sebahagian daripada langkah untuk menghalang ketibaan pendatang.
Kerajaan Konservatif itu mahu menghentikan kemasukan secara haram menerusi Selat Inggeris dengan bot kecil.
Kementerian dalam negeri berkata pekerjaan haram dan menyewa adalah faktor tarikan penting bagi pendatang yang melakukan perjalanan berbahaya.
Denda sivil untuk majikan akan meningkat tiga kali ganda kepada sehingga £45,000 ($57,000) bagi setiap pekerja, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Denda untuk tuan tanah akan meningkat daripada £1,000 setiap penghuni kepada maksimum £10,000, dengan denda untuk penginapan juga meningkat.
Denda akan lebih tinggi bagi pesalah berulang.
Tuan tanah dan majikan dikehendaki menyemak kelayakan pekerja dan penyewa mereka.
Penalti baharu itu akan berkuat kuasa pada awal 2024, menurut kementerian itu, yang berkata ia kali terakhir disemak pada 2014.
“Menjadikan lebih sukar bagi pendatang tanpa izin untuk bekerja dan beroperasi di UK adalah penting untuk menghalang bot kecil melakukan perjalanan yang berbahaya dan tidak perlu merentasi Selat Inggeris,” kata Menteri Imigresen Robert Jenrick. – AFP, 7 Ogos, 2023.
Komen