TIGA maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian tembakan di tenggara Washington DC pada malam Sabtu.
Pegawai polis menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8 malam (0000 GMT Ahad) di blok 1600 Good Hope Road, sebelum menemukan lima mangsa - empat lelaki dan seorang wanita.
Dua lelaki dan seorang wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi mangsa dikejarkan ke hospital tempatan, kata Pamela Smith, pemangku ketua jabatan polis Metropolitan, lapor agensi berita Xinhua.
“Keganasan senjata api ini perlu dihentikan. Ia amat mengecewakan. Kami tahu seseorang dalam komuniti tahu apa yang berlaku. Sila hubungi kami dan berikan kami apa-apa maklumat supaya kami dapat memastikan rakyat, penduduk selamat dalam komuniti mereka,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata insiden tembakan itu sedang dalam siasatan.
Awal Sabtu, dua lelaki mati ditembak, manakala seorang lagi cedera parah dalam satu kejadian serupa di barat laut Washington.
Insiden berlaku di blok 2500 Ontario Road pada kira-kira jam 1 pagi (0500 GMT) waktu tempatan. – Bernama, 6 Ogos, 2023.
Komen