Sweden berusaha perbaiki hubungan dengan negara Islam


Menteri Luar Sweden Tobias Billstrom berkata negara itu mahu mengukuhkan hubungan dengan negara-negara Islam. – Gambar AFP, 6 Ogos, 2023.

SWEDEN mahu mengukuhkan hubungan dengan negara-negara Islam, kata Menteri Luar Sweden Tobias Billstrom ketika negara itu berdepan kritikan terhadap insiden penghinaan berulang kali terhadap Al-Quran, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan semalam Kementerian Luar memaklumkan Billstrom mengadakan perbualan dengan lebih 20 duta negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di ibu negara Stockholm pada Jumaat.

“Memulihkan kepercayaan dan keyakinan mengambil masa. Saya akan menumpukan sebahagian besar daripada tempoh pilihan raya ini untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara Islam,” kata Billstrom.

Beliau berkata kerajaannya “menolak sekeras-kerasnya” pembakaran salinan kitab suci, sambil menambah Kementerian Kehakiman memulakan analisis dan sedang mengusahakan terma rujukan siasatan untuk mengkaji semula Akta Ketenteraman Awam.

Awal minggu ini Menteri Kehakiman Gunnar Strommer berkata satu penyelesaian yang berpotensi untuk mencegah kejadian sama berulang lagi adalah dengan menggunakan kuasa kecemasan di bawah Akta Ketenteraman Awam.

Jakob Forssmed, menteri hal ehwal sosial Sweden juga mengadakan pertemuan dengan wakil daripada organisasi berbeza agama di ibu negara Sweden pada Jumaat. – Bernama, 6 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen