Sempadan semula bahagian pilihan raya demi ‘survival’ BN, kata Azmin


Yasmin Ramlan Asila Jalil Mohd Farhan Darwis

Menteri Besar Selangor Mohamaed Azmin Ali berkata, proses gerimander melalui kawasan persempadanan semula kawasan secara tidak langsung menafikan hak rakyat untuk menentukan kerajaan yang mentadbir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2018.

MENTERI Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menyifatkan proses persempadanan semula yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara terang-terangan membantu “survival” Barisan Nasional pada pilihan raya nanti.

Azmin juga berkata, proses gerimander melalui kawasan persempadanan semula kawasan secara tidak langsung menafikan hak rakyat untuk menentukan kerajaan yang mentadbir.

Beliau turut memberi contoh di mana, persempadanan semula pernah dilakukan pada PRU sebelum ini bagi menjamin kemenangan parti BN.

“Maka kalau sekali lagi menjelang PRU 14, proses gerrymandering ini semakin sengit dan semakin dahsyat kerana nyawa Umno dan BN sudah sampai ke penghujung.

“Jadi bagi menjamin survival, Umno gunakan semua agensi termasuk SPR untuk memutarbelitkan dan perompakan dalam PRU yang akan datang,” katanya ketika perbahasan persempadanan semula di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi mengukuhkan hujahnya, ahli Parlimen Gombak itu berkata, proses tersebut bertentangan dalam Fasal 2 (C) Jadual 13, Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bilangan pemilih di setiap bahagian pilihan raya pada sesuatu negeri itu sepatutnya tidak mempunyai beza yang banyak.

“Ini Perlembagaan Persekutuan patut dihormati, dipatuhi oleh Parlimen, oleh perdana menteri dan ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Namun beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli pihak Umno.

Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Zohdi yang tidak berpuas hati dengan perbahasan Azmin, sedaya-upaya mencelah berkali-kali tetapi tidak berjaya.

Azmin turut mempersoalkan mengapa SPR begitu tergesa-gesa dalam proses berkenaan dan mengikut telunjuk pentadbiran sedia ada.

“Mengapa SPR mengikut telunjuk kleptokrat? Mengapa SPR - badan bebas, (tetapi) tidak bebas tunduk dan tunduk kepada perompak dan perasuah dalam negara pada hari ini.

“SPR juga dikesan mengikut garis kaum tertentu dalam negeri Selangor yang multiracial.

“SPR kena jaga keharmonian dan perpaduan kaum dalam negara dan Selangor pada hari ini. Kalau orang Melayu, Cina dan India boleh memilih hidup aman dan damai dalam Pulau Pinang dan Selangor, kenapa SPR pecahkan perpaduan kaum yang ada dalam negara hari ini?

“Ini melampau kerana mengikut telunjuk parti perkauman yang sempit (iaitu) Umno dan BN,” katanya. – 28 Mac, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • persempadanan semula dibuat bagi memperkemaskan lagi sesuatu kawasan & bukannya dibuat hanya kerana mahu memenangkan BN saja..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan