IATA gesa lebih banyak negara dakwa penumpang bertindak luar kawalan


Trend peningkatan insiden penumpang tidak terkawal adalah membimbangkan serta penumpang dan kru pesawat berhak mendapat pengalaman yang selamat dan lancar di dalam kapal terbang. – Gambar AFP, 5 Jun, 2023.

PERSATUAN Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mahu lebih banyak negara mengambil langkah perlu untuk mendakwa penumpang yang tidak terkawal di bawah Montreal Protocol 2014 (MP14). 

Menurut IATA, angka terkini menunjukkan terdapat satu insiden tidak terkawal yang dilaporkan untuk setiap 568 penerbangan pada 2022, meningkat daripada satu bagi setiap 835 penerbangan pada 2021 dan pelanggaran yang kerap berlaku pada 2022 ialah ketidakpatuhan, penderaan lisan dan mabuk. 

Katanya insiden penderaan fizikal kekal amat jarang berlaku tetapi ia mencatatkan peningkatan yang membimbangkan sebanyak 61% berbanding 2021, berlaku sekali untuk setiap 17,200 penerbangan. 

Timbalan Ketua Pengarah IATA Conrad Clifford berkata trend peningkatan insiden penumpang yang tidak terkawal adalah membimbangkan serta penumpang dan kru pesawat berhak untuk mendapat pengalaman yang selamat dan lancar di dalam kapal terbang.

“Penumpang perlu mematuhi arahan kru pesawat. Walaupun kru profesional kami terlatih untuk menguruskan senario penumpang yang tidak terkawal, adalah tidak boleh diterima apabila peraturan yang ditetapkan untuk keselamatan semua orang tidak dipatuhi oleh minoriti penumpang yang kecil tetapi secara berterusan.

“Tiada alasan untuk tidak mengikut arahan kru pesawat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut IATA, walaupun insiden ketidakpatuhan pada mulanya merosot selepas mandat pelitup muka dimansuhkan dalam kebanyakan penerbangan, kekerapan mula meningkat semula sepanjang 2022 dan mengakhiri tahun tersebut kira-kira 37% meningkat berbanding 2021 dengan contoh ketidakpatuhan yang kerap berlaku termasuklah menghisap rokok, e-rokok, vape dan peranti sedutan di dalam kabin atau tandas serta kegagalan untuk memakai tali pinggang keledar apabila diarahkan.

Clifford berkata kerajaan dan industri mengambil langkah yang lebih serius untuk mencegah insiden penumpang yang tidak terkawal dalam menghadapi peningkatan jumlah insiden tersebut.

Pelbagai negara sedang meratifikasi MP14 dan mengkaji semula langkah-langkah penguatkuasaan, memberikan mesej pencegahan yang jelas dengan menunjukkan mereka bersedia untuk mendakwa tingkah laku yang tidak terkawal.

Bagi pihak industri, terdapat kerjasama yang baik. Sebagai contoh, memandangkan kebanyakan insiden mabuk berlaku daripada alkohol yang diambil sebelum penerbangan, sokongan daripada bar di lapangan terbang dan restoran untuk memastikan pengambilan alkohol yang bertanggungjawab adalah amat penting. – Bernama, 5 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen