Kes dakwaan hubungan sulit ketua SPRM ditutup, kata Zahid


Muzliza Mustafa

Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata kertas siasatan dikembalikan kepada polis untuk tindakan lanjut dan kemudiannya ditutup kerana tiada bukti untuk meneruskan siasatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2018.

SIASATAN terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad yang didakwa mempunyai hubungan sulit telah ditutup kerana tiada bukti kukuh untuk meneruskan siasatan terhadapnya, kata Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berhubung pertanyaan status siasatan polis terhadap kes berkenaan. 

Jawapan bertulis itu dibuat pada 19 Mac. Dalam jawapan balasnya, Zahid berkata kertas siasatan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dua kali pada 17 Oktober dan 30 Oktober tahun lalu, tetapi ia dikembalikan kepada polis untuk tindakan lanjut dan kemudiannya ditutup kerana tiada bukti untuk meneruskan siasatan. 

“Kertas siasatan itu dirujuk kembali kepada AG dan diputuskan bahawa pernyataan pada masa ini menunjukkan sebarang elemen di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan,” kata Zahid.

Dzulkifli disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana didakwa memikat  isteri orang untuk mengadakan persetubuhan haram selepas beberapa siri klip video yang menunjukkan beliau bercuti dengan seorang wanita yang bukan isterinya di Bali. 

Dzulkifli pernah bersuara pada tahun lalu berhubung dakwaan hubungan sulit berkenaan dan berkata beliau tidak akan tunduk dengan “taktik kotor” untuk menghentikannya meneruskan perjuangannya membanteras rasuah.

Beliau memberitahu TV3 bahawa serangan itu adalah berikutan pendekatan agresif SPRM sejak awal tahun lalu untuk memerangi rasuah dan menangani kes penyalahgunaan kuasa. 

“Taktik kotor ini adalah untuk mencemarkan imej dan reputasi saya sebagai pesuruhjaya SPRM dan untuk menjatuhkan kredibiliti SPRM dalam usaha kami bagi memastikan negara  ini bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya tanpa menjelaskan butiran taktik kotor berkenaan.

Video berdurasi tiga minit itu tersebar tahun lalu mendakwa satu pasangan telah bercerai pada 28 September lalu di Mahkamah Rendah Syariah Ulu Klang kerana wanita terbabit didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Dzulkifli. 

Beliau bagaimanapun tidak mengakui atau menafikan kesahihan dakwaan dalam video terbabit. 

Wanita yang terbabit dalam tuduhan ini bagaimana pun tampil menjelaskan beliau akan menerima kesalahan itu tetapi tidak mendedahkan punca perceraiannya. Beliau juga berkata tertekan untuk membersihkan namanya. 

Wanita berkenaan memohon maaf kepada Dzulkifli dan keluarganya menerusi satu posting di Facebook. 

Mereka yang didapati bersalah di bawah Seksyen 498 akan berdepan hukuman penjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. – 22 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • video rasanya belum habis lg pihak2 yg ada maklumat kasi upload kat youtube

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan