Apa cerita dengan Cambridge Analytica?


Noor Azam Shairi

Di peringkat dunia, firma itu jadi perhatian kerana penglibatannya dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 2016 dan kempen keluar dari Kesatuan Eropah dalam referendum United Kingdom pada tahun yang sama. – Gambar AFP, 21 Mac, 2018.

MALAYSIA tiba-tiba saja terheret dalam kontroversi melibatkan sebuah firma data antarabangsa dan perunding politik, Cambridge Analytica (CA), yang digantung oleh Facebook daripada platform media sosial itu kerana menggunakan maklumat penggunanya yang dituai secara tidak sah.

Di peringkat dunia, firma itu jadi perhatian kerana penglibatannya dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 2016 dan kempen keluar dari Kesatuan Eropah dalam referendum United Kingdom pada tahun yang sama.

Di Malaysia, firma itu terlibat dengan kempen Barisan Nasional di Kedah pada pilihan raya umum 2013 dan menyebut penglibatannya itu di laman webnya.

Pemimpin Pakatan Harapan, Mukhriz Mahathir yang jadi Menteri Besar Kedah selepas pilihan raya umum itu menafikan ada kaitan dengan CA. BN juga menafikan menggunakan khidmat firma itu dan mengatakan ia wakil firma itu mengesahkan mereka berurusan secara langsung dengan Mukhriz.

Laporan oleh The New York Times dan The Guardian hujung minggu lalu mendedahkan maklumat lebih 50 juta pengguna Facebook telah digunakan tanpa pengetahuan mereka oleh CA, sebuah firma data berpangkalan di United Kingdom.

Facebook menafikan apa yang berlaku itu adalah pencurian data.

Tetapi apakah sebenarnya yang berlaku? Siapa yang terlibat? Dan bagaimana Malaysia terpalit dalam kontroversi ini?

Berikut apa yang kita tahu setakat ini:

1. Siapa dan apa itu Cambridge Analytica (CA)?

CA sebuah firma yang menggunakan data untuk membuat analisis dan mendakwa menggunakan data untuk mengubah tingkah laku pengguna. Ia melakukannya dengan menggerakkan kempen dengan mesej tertentu kepada sasaran tertentu berdasarkan analisis yang dilakukan terhadap maklumat sasarannya.

Kempen pemasaran yang dijalankan oleh CA tidak saja digunakan oleh syarikat perniagaan tetapi juga oleh parti politik untuk menang pilihan raya.

CA mendakwa ia boleh membuat analisis dengan tepat dengan memahami tingkah laku kelompok sasarannya dan daripada analisis itu menggerakkan kempen untuk mempengaruhi pengundi.

2. Siapa di belakang CA?

Firma ini ditubuhkan pada 2013 sebagai cabang daripada syarikat induknya Strategic Communication Laboratories Group (SCL). Dua syarikat ini mempunyai beberapa orang pengarah yang sama.

Pendukung utama firma ini ialah pengasasnya Alexander Nix, 42, yang menyertai SCL pada 2003. Nix, ketua pegawai eksekutif CA, dikatakan bertanggungjawab mengembangkan penglibatan syarikat itu dalam pemasaran politik.

Alexander Nix digantung daripada jawatannya sementara siasatan penuh terhadapnya dijalankan. – Gambar AFP, 21 Mac, 2018.

Nix digantung daripada jawatannya sementara siasatan penuh terhadap kenyataannya yang “tidak mencerminkan nilai dan operasi syarikat”, yang dirakam secara sulit oleh stesen berita Channel 4. Dalam rakaman itu, Nix berkata firma tersebut menggunakan amalan tidak beretika dalam kempen politiknya termasuk memerangkap lawan dengan rasuah dan perempuan.

Pengarah urusan bahagian politik CA ialah Mark Turnbull. Beliau mempunyai pengalaman 30 tahun sebagai perunding komunikasi kepada peneraju perniagaan, pemimpin politik serta kerajaan dan syarikat milik kerajaan di pelbagai negara.

Menurut maklumat di laman webnya, CA pempunyai pejabat di New York, Washington DC, London, Brazil dan Malaysia.

Kewujudan CA di Malaysia mencetuskan tanda tanya kerana ia beralamat di sebuah kediaman dan penghuni kediaman itu sejak empat tahun lalu mendakwa tidak tahu-menahu mengenai firma berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2018.

Kewujudan CA di Malaysia mencetuskan tanda tanya kerana ia beralamat di sebuah kediaman dan penghuni kediaman itu sejak empat tahun lalu mendakwa tidak tahu-menahu mengenai firma berkenaan.

3. Apa tuduhan terhadap CA?

CA didakwa menggunakan data daripada Facebook yang diperolehinya tanpa kebenaran pada awal 2014 untuk membangunkan perisian yang boleh meramal dan mempengaruhi pilihan pengundi dengan menyebarkan mesej kempen bersasaran.

Pada 2014, Facebook memaparkan kuiz “thisisyourdigitallife” yang membolehkan penggunanya mengambil ujian personaliti. Kuiz itu dibangunkan oleh pensyarah Universiti Cambridge (tiada kaitan dengan CA), Aleksandr Kogan.

Melalui kuiz itu, sama seperti aplikasi lain, maklumat mereka yang mengambil bahagian dituai termasuk maklumat daripada rakan-rakan mereka di Facebook.

Christopher Wylie, bekas pekerja CA, mendakwa kuiz itu disertai 270,000 pengguna Facebook dan menuai data daripada 50 juta pengguna. – Gambar Youtube, 21 Mac, 2018.

Christopher Wylie, bekas pekerja CA, mendakwa kuiz itu disertai 270,000 pengguna Facebook dan menuai data daripada 50 juta pengguna platform media sosial itu. Data itu kemudian dijual kepada CA, yang menggunakannya untuk menganalisis profil pengundi dan mengirimkan kepada mereka bahan kempen menyokong Trump.

CA dalam satu kenyataan menafikan tuduhan itu dan menegaskan ia tidak mengambil data daripada Facebook, dan tidak menggunakan data yang dimaksudkan dalam kempen Trump.  Ia juga mengatakan telah mematuhi semua terma perkhidmatan Facebook dan sudah menghapuskan semua data yang diperolehinya daripada GSR.

4. Bagaimana CA terlibat dengan kempen Donald Trump?

Menurut The Guardian, Robert Mercer, pendukung kempen Trump, menyumbang dana US$15 juta (RM59 juta) kepada CA. Mercer juga membiayai laman web Breitbert yang berhaluan kanan, yang diterajui oleh Steve Bannon.

Steve Bannon adalah ketua strategi kempen Donald Trump pada fasa akhir kempen menjelang pemilihan presiden itu. – Gambar EPA, 21 Mac, 2018.

Bannon kemudian menjadi ketua strategi kempen Trump pada fasa akhir kempen menjelang pemilihan presiden itu. Pada fasa akhir itulah kempen Trump menggunakan perkhidmatan CA dan membayar lebih AS$6.2 juta (RM24 juta), berdasarkan maklumat yang ada pada Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan Amerika Syarikat.

Di laman webnya, CA menyatakan firma itu terlibat dalam kempen Trump dengan “menyediakan kepakaran dan wawasan yang membantu beliau memenangi White House”.

5. Siapa lagi menggunakan khidmat CA?

Selain terlibat dalam kempen pemilihan Presiden Amerika Syarikat 2016 yang dimenangi oleh Donald Trump, CA terlibat dalam kempen pilihan raya di beberapa negara termasuk Indonesia, India, Kenya, Mexico dan Malaysia.

Kepada wartawan televisyen Channel 4 yang menyamar, Turnbull mengaku pihaknya terlibat dalam kempen pilihan raya di Malaysia.

Di laman webnya juga, syarikat itu mengaku terlibat membantu Barisan Nasional memenangi semula Kedah daripada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2013. Pada pilihan raya itu, BN menang 21 daripada 36 kerusi negeri serta 10 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Mac, 2018.

Di laman webnya juga, syarikat itu mengaku terlibat membantu Barisan Nasional memenangi semula Kedah daripada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2013. Pada pilihan raya itu, BN menang 21 daripada 36 kerusi negeri serta 10 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah.

CA juga didakwa terlibat dalam kempen menyokong United Kingdom keluar dari Kesatuan Eropah semasa referendum Brexit yang diadakan pada 23 Jun 2016. Nix bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

6. Bagaimana reaksi di Malaysia?

Pemimpin Pakatan Harapan menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta polis membuka siasatan terhadap CA dan sekutunya, SCL Group atas dakwaan terlibat dalam pilihan raya di Malaysia.

Mereka juga meminta Perdana Menteri Najib Razak, selaku pengerusi Barisan Nasional, memberi penjelasan mengenai penglibatan CA sebagai perunding kempen pilihan raya.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang ketika itu pengarah pilihan raya BN pada PRU13, berkata beliau tidak tahu tentang CA. Katanya, Perdana Menteri Najib Razak ada tabiat “suka buat hal sendiri”, merujuk kecenderungan pengerusi BN itu mengupah firma media strategik untuk menaikkan imejnya.

Mukhriz Mahathir, yang jadi Menteri Besar Kedah selepas BN merampas negeri itu daripada Pakatan Rakyat pada PRU13, juga berkata beliau tidak tahu menahu tentang pembabitan CA dalam kempen BN di Kedah semasa pilihan raya umum itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2018.

Mukhriz Mahathir, yang jadi Menteri Besar Kedah selepas BN merampas negeri itu daripada Pakatan Rakyat pada PRU13, juga berkata beliau tidak tahu menahu tentang pembabitan CA dalam kempen BN di Kedah semasa pilihan raya umum itu.

Azrin Zizal, yang dikaitkan dengan CA di Malaysia, pernah jadi pegawai Mukhriz semasa beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri antara 2009 hingga 2013.

Pejabat Perdana Menteri kemudian mengeluarkan satu kenyataan dua perenggan mengatakan Cambridge Analytica atau syarikat induknya, SCL Group tidak pernah berurusan dengan Barisan Nasional atau kerajaan Malaysia, sebaliknya berurusan langsung dengan bekas Menteri Besar Kedah itu semasa pilihan raya umum 2013.

Mukhriz bagaimanapun berkata dakwaan JPM itu bertujuan mengalih perhatian orang ramai bahawa BN sebelum ini yang sebenarnya menggunakan perkhidmatan Cambridge Analytica.

7. Apa Facebook buat?

Facebook menggantung CA dan beberapa individu daripada menggunakan platformnya. Facebook menafikan ada pencabulan data. Ia malah memberi Kogan kebenaran untuk mengakses maklumat yang dimilikinya. Kogan bagaimanapun didakwa melanggar terma kebenaran itu apabila berkongsi maklumat tersebut dengan CA.

Facebook mendakwa tahu mengenai isu yang berbangkit sejak 2015 dan mengeluarkan aplikasi itu daripada sistemnya dan mendesak pihak terlibat memusnahkan data yang diperolehi.

Facebook mendakwa tahu mengenai isu yang berbangkit sejak 2015 dan mengeluarkan aplikasi itu daripada sistemnya dan mendesak pihak terlibat memusnahkan data yang diperolehi. – Gambar EPA, 21 Mac, 2018.

8. Apa kesannya kepada Facebook?

Financial Times melaporkan saham syarikat milik Mark Zuckerberg itu jatuh paling teruk dalam masa empat tahun pada Isnin, menyebabkan kerugian sehingga AS$36.7 bilion (RM144 bilion). Sahamnya di Wall Street jatuh sehingga 7%. Saham itu terus merosot dari hari ke hari.

Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) dilaporkan akan menyiasat Facebook, sementara ahli Kongres dari Demokrat dan Republikan menggesa Zuckerberg dihadapkan ke jawatankuasa senat untuk disoal siasat.

Parlimen Britain dan Kesatuan Eropah turut memanggil Zuckerberg untuk memberikan keterangan tetapi beliau dijangka tidak akan hadir sebaliknya mengirimkan wakil. – 21 Mac, 2018.

Sumber: The Guardian, The New York Times, Reuters, Tech Crunch, Financial Times


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen