PAS mahu jadi 'kingmaker' untuk pastikan BN berkuasa, kata Dr Mahathir


Kamles Kumar

Dr Mahathir Mohamad berkata kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang itu menyokong BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Mac, 2018.

CITA-cita PAS mahu menjadi “kingmaker” (penentu) hanyalah satu cara bagi memastikan Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini.

Bekas perdana menteri itu mendakwa kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang itu menyokong BN, yang digelarnya sebagai parti “cash is king”.

“Hakikatnya, mereka bukanlah ‘kingmaker’ untuk membantu pembangkang.

“Mereka hanya ‘kingmaker’ untuk menangkan ‘cash is king’,” kata Dr Mahathir pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Dr Mahathir turut menuduh PAS “menyokong” cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Manifesto PAS yang diumumkan pada minggu lalu, antara lain mencadangkan pemansuhan GST dimansuhkan dan pengecualian cukai eksais bagi pembeli kereta kali pertama.

Bagi menggantikan GST, PAS telah mencadangkan tabung korporat dan urus niaga korporat di Bursa Malaysia dikenakan cukai.

Walaupun Pakatan Harapan (PH) turut mencadangkan supaya GST dihapuskan, pakatan pembangkang itu telah mencadangkan untuk menampung kekurangan dengan meminimumkan kebergantungan kepada pertumbuhan organik kerana PH menjangkakan kuasa membeli akan meningkat tanpa GST.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu mengulas tuntutan Abdul Hadi pada ulang tahun ke-10 PAS pada minggu lalu yang mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor.

Hadi mendakwa PAS akan memainkan peranan sebagai ‘kingmaker’ kepada mana-mana parti yang mahu membentuk kerajaan negeri di Selangor atau di peringkat Persekutuan.

Melalui ceramah dan jerayawara PH, Dr Mahathir menuduh Perdana Menteri Najib Razak menggunakan pendekatan “cash is king” untuk meraih sokongan rakyat. – 20 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen