Jho Low, Riza Aziz tidak isytihar pendapatan di Malaysia, kata menteri


Amin Iskandar

AHLI perniagaan kontroversi Low Taek Jho dan anak tiri kepada Perdana Menteri Najib Razak, Riza Aziz tidak mengisytiharkan pendapatan dalam negara dan disebabkan itu mereka tidak dikenakan cukai, kata Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani.

Johari berkata jika Low yang dikenali sebagai Jho Low dan Riza mengisytiharkan pendapatan mereka, kerajaan akan mengenakan cukai seperti dikenakan terhadap ahli perniagaan lain.

“Mengikut kita punya fail cukai, tak ada. Nama-nama ini tak ada sebab mereka tak ‘declare’ mereka punya ‘income’ kat dalam negara kita,” kata Johari di Dewan Rakyat hari ini.

Johari menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang bertanya sama ada siasatan dijalankan terhadap Jho Low dan Riza yang dikatakan kerajaan Malaysia tidak mempunyai kaitan dengan syarikat kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Apakah pihak Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan agensi-agensi sebagainya ada siasat tak?

“Sumber kewangan mereka dari mana? Adakah halal? Atau ini wang haram? Ada bayar cukai tak?” soal Lim di Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata berhubung siasatan terhadap Jho Low, Riza dan 1MDB, beliau tidak boleh memberikan jawapan kerana bukan dalam bidang kuasanya.

“Saya tidak berada dalam kedudukan untuk beri jawapan kepada Yang Berhormat

“I’m not privy with the investigations,” katanya.

Jawapan Johari menyebabkan Chua Tian Chang (PKR-Batu) bangkit untuk mencelah.

“Ramai ahli perniagaan yang berniaga dan melabur di luar negara mendapat fail cukai.

“Mengapa satu kes yang berprofil tinggi dan berpotensi untuk mendapatkan hasil kutipan yang besar mengapa pegawai kita tak ambil tindakan?,” soal Chua.

Johari berkata LHDN tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan.

“Sekiranya kamu mempunyai perniagaan di Malaysia, pendapatan di Malaysia, sekiranya tidak isytihar, LHDN akan cari kamu.

“Cukai LHDN ni dia tak kira siapa. Kalau you drive Ferrari, lepas tu tengok fail cukai tiada, dia akan tanya,” katanya. – 19 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kerajaan tidak akan memeilih siapa yg dikenakan cukai ataupun tidak..jika org itu sepatutnya dikenakan cukai tetapi tidak isytihar harta mereka, tindakan akan diambil terhadap mereka..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan