Duta dakwa Malaysia mangsa siasatan kes Equanimity, 1MDB


DUTA Besar Malaysia ke Indonesia, Zahrain Mohd Hashim memberitahu media negara itu bahawa Malaysia hanyalah mangsa dalam siasatan berhubung kapal mewah Equanimity dan juga firma 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sedangkan, tiada kes yang mengaitkan syarikat pelaburan strategik itu dengan kapal mewah berkenaan dan juga ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, katanya dalam wawancara dengan majalah berpengaruh Tempo.

“Perdana Menteri (Najib Razak) marah dengan cerita ini. Ini cerita yang tak betul. Dia kata, ‘saya sangat kecewa’,” kata Zahrain.

Beliau berkata Malaysia menjadi mangsa kerana pembangkang negara ini menggunakan isu tersebut untuk menyerang kerajaan dalam menghadapi pilihan raya umum yang bakal menjelang.

“Kami akan menghadapi pilihan raya umum. Pihak pembangkang memakai itu (isu 1MDB) untuk menyerang kerajaan,” katanya.

Zahrain berkata isu melibatkan 1MDB semakin kuat menekan kerajaan apabila dibangkitkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini memimpin pembangkang.

Beliau turut menepis siasatan oleh penyiasat Amerika Syarikat yang menurutnya hanya dibuat “atas laporan dan cerita”.

“Jika FBI (Biro Siasatan Persekutuan AS) kata 1MDB melakukan pengubahan wang, mengapa CEO 1MDB (Arul Kanda) tidak pernah diperiksa.

“Saya rasa ini permainan politik. Ada orang yang ingin menjelikkan kerajaan Malaysia dan perdana menteri,” katanya.

Wartawan Tempo antara lain meminta Zahrain menjelaskan mengenai pemilikan kapal mewah tersebut dan juga hubungan Jho Low dengan penerbit filem Riza Aziz yang merupakan anak tiri Najib.

“Itu bukan kapal Malaysia, bukan kapal yang kena-mengena dengan Malaysia. Bukan pula kapal rakyat Malaysia” kata Zahrain.

Wawancara itu muncul selepas penyiasat Amerika Syarikat menyita kapal Equanimity akhir bulan lalu di pulau Bali di perairan negara tersebut.

Kapal The Equanimy dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia atas permintaan FBI yang membuka siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berkaitan 1MDB.

Operasi itu dibuat selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menangguhkan samannya untuk merampas aset bernilai AS$4.5 bilion yang diperolehi dengan menggunakan dana didakwa dicuri dari 1MDB.

Kapal layar mewah dilaporkan berharga AS$260 juta tersebut merupakan antara aset yang dikehendaki (DoJ), selain hartanah mahal di AS, barang kemas, karya seni dan hakcipta ke atas filem Hollywood.

Kes rampasan kapal itu menjadi bahan laporan utama agensi berita utama seluruh dunia namun ia tidak mendapat tempat dalam media kawalan kerajaan di Malaysia.

Ketika disoal lanjut, bekas ahli Parlimen PKR itu menegaskan, kapal tersebut bukan kepunyaan Jho Low dan tidak harus dikaitkan dengan 1MDB dan Najib.

“Daripada informasi yang kami dapat, kapal itu bukan punya Jho Low… Kalau bukan kepunyaan Jho Low, mengapa dikaitkan dengan 1MDB dan perdana menteri Malaysia?”

Zahrain berkata Jho Low yang disifatkannya sebagai seorang “tukang atur” atau “broker” juga tidak bekerja dengan kerajaan Malaysia, perdana menteri Malaysia mahupun dengan 1MDB.

DUTA Besar Malaysia ke Indonesia, Zahrain Mohd Hashim berkata tiada kes mengaitkan 1MDB dengan kapal mewah Equanimity yang dirampas di Bali. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Mac, 2018.

Ketika disoal mengenai hubungan Jho Low dengan Riza Aziz, Zahrain secara ringkas menjawab Riza merupakan anak tiri Najib dan bukan perdana menteri.

Mengulas mengenai dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun Najib, Zahrain seterusnya menegaskan wang itu dari kerajaan Arab Saudi.

Zahrain berkata sekiranya segala tuduhan yang dibangkitkan mengenai 1MDB adalah benar, maka tentu ada tindakan dan penangkapan dibuat.

Antara negara yang mengenakan tindakan ke atas individu dalam skandal 1MDB adalah Arab Saudi.

Putera Turki Abdullah, salah seorang pengasas Petrosaudi ditahan dalam operasi besar-besaran melibatkan kerabat emiriah tersebut November lalu.

Bilionair itu kemudiannya dilaporkan dibebaskan pada Disember selepas membuat “penyelesaian kewangan” dengan kerajaan Arab Saudi.

Putera Turki didakwa sebagai “penderma” dana berbilion ringgit yang masuk ke akaun peribadi Najib.

Zahrain seterusnya mempersoalkan tindakan pihak yang terus mengaitkan Najib dengan Jho Low kerana perdana menteri itu tidak terlibat dengan pengendalian 1MDB.

Beliau berkata sepanjang pengetahuannya, Jho Low juga tidak pernah ditangkap.

Malah penyiasat Malaysia tidak menemui sebarang penipuan dalam 1MDB dan tiada penangkapan dibuat ke atas kakitangan tersebut serta ketua pegawai eksekutifnya, Arul Kandasamy.

“Tiada kes. Polis dan lembaga anti rasuah dan peguam negara telah menyelidik dan tidak menemui unsur penipuan.

“Parlimen juga sama hasilnya. tidak ada pencurian, wang hilang, dan aliran wang haram dari 1MDB. 1MDB menjalankan bisnes secara formal.”

Laporan Tempo turut disertakan dengan satu kartun karya kartunis popular Malaysia, Zunar yang antara lain mendakwa dana 1MDB itu hanya menguntungkan keluarga dan kroni perdana menteri.

Selain itu, Zunar dalam kartunnya mendakwa Najib juga akan menipu dalam pilihan raya untuk kekal mentadbir kerajaan. – 19 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • pelbagai pihak mengambil kesempatan diatas kes ini..sedangkan apa yg dilaporkan tidak benar & tepat sama sekali..ianya hanya manipulasi keatas isu 1mdb..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan