Pakatan, Barisan setuju kerusi penyandang kekal kepada parti menang PRU14, kata Saifuddin


Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan kata sepakat itu dicapai menerusi perbincangan awal baru-baru ini. – Gambar Facebook Saifuddin Nasution Ismail, 8 April, 2023.

PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju semua kerusi penyandang akan kekal kepada parti yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan kata sepakat itu dicapai menerusi perbincangan awal mengenai pembahagian kerusi untuk PH dan BN pada PRN kelak, yang diadakan baru-baru ini.

“Perbincangan pusingan pertama telah dibuat antara PH dan BN, perbincangan itu bersetuju untuk melibatkan beberapa parameter yang akan memandu ke arah pengagihan kerusi pilihan raya antaranya kerusi penyandang akan kekal untuk parti yang menang pada PRU14.

“Kami menjangkakan pengagihan kerusi akan selesai semuanya sebelum penamaan calon PRN bagi enam negeri berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penerapan nilai-nilai murni dan iftar Kementerian Dalam Negeri di Pulau Pinang hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh.

Saifuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan dan pembahagian kerusi membabitkan PH dan BN menjelang PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Dilaporkan enam negeri itu mencapai persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Mengulas lanjut, beliau berkata rundingan pembahagian kerusi di peringkat negeri sedang berjalan ketika ini dan ia dibuat berdasarkan keputusan di peringkat sekretariat PH yang disampaikan di negeri terlibat.

“Di Kedah dan Selangor sedang berjalan mesyuarat tersebut, manakala Pulau Pinang dan Negeri Sembilan belum lagi (mesyuarat) namun telah dijadualkan dalam masa terdekat.

“Dua hari lepas saya berada di Terengganu dan saya sampaikan taklimat tatacara rundingan itu, sehari dua lagi saya akan ke Kelantan pula untuk sampaikan taklimat sama,” katanya.

Saifuddin berkata jika terdapat parti yang mahu tambahan kerusi dan ia tidak dapat diselesaikan di peringkat negeri, maka akan dibawa dan diselesaikan di peringkat pimpinan pusat. – Bernama, 8 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen