Bustari Yusof, sekutu penting pentadbiran Najib


Bustari Yusof, dikatakan menjadi rakan Najib Razak menerusi Rosmah Mansor, isteri perdana menteri. – Gambar Vimeo, 5 Jun, 2017.

PERANAN ahli perniagaan Sarawak Bustari Yusof sebagai orang kanan Perdana Menteri Najib Razak diperhatikan selepas timbul laporan mengatakan beliau “menasihati” Lim Kang Hoo supaya jangan buat kecoh selepas terkuburnya projek hartanah berbilion dolar Bandar Malaysia.

Bustari, 65, dihantar oleh Najib untuk bertemu Lim yang juga pemilik Iskandar Waterfront Holdings, susulan pembatalan urus niaga bernilai RM7.42 bilion untuk membangunkan Bandar Malaysia seluas 197 hektar, hab pengangkutan ultra moden di pusat bandar.

Menurut laporan Straits Times hari ini, Bustari memberitahu Lim yang mencabar keputusan Putrajaya hanya akan memadamkan peluangnya memperoleh kontrak kerajaan pada masa depan.

Ahli perniagaan yang tidak menonjol itu, digambarkan sebagai rakan golf Najib, dan juga abang kepada Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof. Kedua-duanya digambarkan sebagai “ejen utama” perdana menteri di negeri Borneo.

“Dia boleh dianggap sebagai salah seorang rakan rapat PM. Mereka sering main golf bersama dan Bustari selalu bercuti bersama keluarga Najib,” kata seorang ketua eksekutif sebuah bank dikawal kerajaan, dipetik sebagai berkata.

Syarikat milik Bustari, Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd ialah rakan kongsi projek Lebuh raya Pan Borneo yang bernilai RM27 bilion.

The Star dalam laporannya pada 4 Julai, 2015 berkata LBU bakal memperoleh RM1.3 bilion hasil daripada lebuh raya itu.

Satu lagi syarikat Bustari, One Medicare Sdn Bhd juga diberikan konsesi 10 tahun untuk menguruskan perkhidmatan sokongan hospital di Sarawak.

Syarikat utama Bustari, BYU Holdings Sdn Bhd ialah pemegang utama Petra Energy dengan 27.47% kepentingan tidak langsung menerusi Shorefield Resources Sdn Bhd. Antara pemegang saham utama Petra ialah Nizam Razak, adik Najib, dengan pegangan 9.09% pada 17 April, 2015.

Akhbar harian Singapura itu memetik satu lagi sumber berkata, Bustari “satu-satunya individu yang merentasi perniagaan dan politik dalam golongan dalaman, dan PM anggap apa yang dia cakap itu penting”, menonjolkan peranan anak kelahiran Sarawak itu sebagai “individu paling utama yang boleh merealisasikan apa saja dalam pentadbiran Najib”. – 5 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen