Bekas pemimpin BN sertai Warisan


Jason Santos

Bekas pemimpin Parti Liberal Demokratik (LDP) Liew Vui Kong ketika bercakap kepada pemberita di Sabah hari ini. Beliau bersama 200 anggota LDP bertindak keluar parti dan menyertai Warisan.– Gambar The Malaysian Insight, 18 Mac, 2018. 

BEKAS pemimpin Parti Liberal Demokratik (LDP) Liew Vui Kong menyertai Parti Warisan Sabah, sekaligus menamatkan spekulasi sejak seminggu lalu berhubung masa depan politik bekas timbalan menteri itu. 

Setiausaha agung Warisan Loretto Padua Jr mengesahkan Liew bersama 200 anggota LDP keluar daripada Barisan Nasional (BN) untuk masuk Warisan.

“Liew diberikan beberapa peranan dalam Warisan. Salah satu daripadanya adalah membantu dalam formulasi dasar pendidikan parti bersama naib presiden Junz Wong,” katanya kepada The Malaysian Insight di Kota Kinabalu hari ini. 

Liew dipilih sebagai ahli ParlimeN Sandakan pada pilihan raya umum 2008 namun tewas kepada Stephen Wong daripada DAP pada Pilihan Raya Umum ke 13.

Beliau juga merupakan timbalan menteri di bawah pentadbiran perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi. 

Liew merupakan presiden LDP dari 2006 hingga 2014 namun digugurkan secara dramatik dalam pertelingkahan dalaman parti itu. 

LDP menyertai parti komponen BN pada 1991. 

Sementara itu Presiden Warisan Shafie Apdal berkata Liew akan menjadi nilai tambah kepada Warisan, kerana pernah menjadi pemimpin parti komponen BN, beliau masih berpengalaman dan berpengaruh.

“Beliau (Liew) berjumpa saya dan menyatakan niatnya untuk menyertai Warisan. Beliau tidak meletakkan apa-apa syarat, sebagai calon mahupun pemimpin bahagian.

“Namun saya lihat beliau sebagai bekas pemimpin LDP dan dengan pengalamannya, kami berikan jawatan pengerusi tetap dan timbalannya bekas pengarah pendidikan negeri Dr Hasbullah Taha.

“Kita juga tahu Liew tidak menang pada pilihan raya lalu, tetapi beliau masih mempunyai pengaruh dan sokongan terutamanya daripada masyarakat Cina, dan ini akan memberi tambahan yang baik kepada Warisan,” kata Shafie dan menambah beliau mempunyai banyak peranan untuk diberikan kepada Liew namun akan mendedahkannya selepas ini. 

Shafie berkata demikian ketika ditemui pada kempen jelajah Warisan di Sepanggar hari ini. – 18 Mac, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen