Ramai kecewa ‘Datin kejam’ terima hukuman ringan


Migrant Care, sebuah pertubuhan yang melindungi hak pekerja migran Indonesia berkata yang keputusan mahkamah itu dilihat sebagai tidak adil. – Gambar ihsan warga Facebook, 18 Mac, 2018.

MASYARAKAT sivil dan pertubuhan dari dalam dan luar negara menyatakan kekecewaan atas keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman ringan terhadap Rozita Mohamad Ali, 44, walaupun didapati bersalah mendera pembantu rumahnya sehingga hampir mati.

Sehubungan itu, Migrant Care, sebuah pertubuhan yang melindungi hak pekerja migran Indonesia mendesak pemerintah Malaysia dan Indonesia serius dalam proses kehakiman yang dilalui tenaga kerja dari negara itu.

“Atas kejadian itu, Migrant Care ingin menyatakan rasa kecewa atas keputusan yang tidak adil dan mendesak supaya adanya proses penyiasatan yang menyeluruh atas kejanggalan yang terdapat dalam keputusan (mahkamah) tersebut. 

“Hasil penyiasatan itu boleh menjadi bahan untuk permohonan pendakwaan atas keputusan yang tidak adil tersebut,” kata Pengarah Eksekutif Migrant Care Wahyu Susilo dalam satu kenyataan.

Pertubuhan itu juga mendesak supaya mana-mana pekerja asing warga Indonesia yang dihadapkan ke mahkamah di Malaysia diberikan bantuan peguam yang berkaliber dan memiliki perspektif perlindungan hak-hak buruh migran Indonesia.

Selain Migrant Care, pengguna media sosial turut melampiaskan rasa yang sama terhadap keputusan itu. Malah, petisyen dalam talian turut diadakan yang bertujuan untuk menggesa agar Rozita dikenakan hukuman yang lebih tegas. 

Pengguna media sosial juga turut mengecam keputusan mahkamah dan mereka menyifatkan undang-undang di negara ini seolah-olah melindungi orang kaya.

Di Twitter, Saladin menulis: “Datin Rozita Mohamad Ali sedang trending…. Rakyat Indonesia, kami rakyat Malaysia peduli. Jangan hukum kami secara menyeluruh atas kelakuan orang yang sedikit itu. Kami akan sentiasa menjunjung keadilan. (Kecuali kita lupa kerana memang kita jenis senang lupa)”

Sementara di Facebook pengguna dengan nama HHman RChris berkata: “Sistem keadilan kita begitu teruk hingga ke akarnya.”

Sujata Ram menulis: “OMG… hakim sudah pasti memainkan peranannya dengan betul. Sistem keadilan negara kita teruk. Asalkan ada jawatan dan pangkat boleh terlepas daripada undang-undang.”

Susulan bantahan orang ramai, Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali, berkata beliau sudah mengarahkan rayuan difailkan terhadap keputusan mahkamah terbabit.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000 kepada Rozita.

Dia didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau, batang mop lantai, payung, batang besi, alat mainan kucing serta penyangkut baju, yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang mangsa.

Rozita didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah dekat Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, antara jam 7 pagi hingga 12 tengah hari pada 21 Jun 2016.

Ketika awal pendakwaan, Rozita berdepan tuduhan cuba membunuh pembantu rumahnya mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun jika cedera, dan seumur hidup jika menyebabkan kematian.

Bagaimanapun, selepas 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 9 Mei tahun lalu, tertuduh kemudian menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan pindaan melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, ketika prosiding disambung pada Khamis lalu.

Berdasarkan Seksyen 326, jika sabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, V V Suloshani memohon hukuman penjara setimpal dengan alasan kes itu mendapat liputan meluas media antarabangsa selain video rakaman itu viral di media sosial, selain menjejaskan hubungan baik di antara Indonesia dan Malaysia.

Kes itu menarik perhatian ramai selepas video memaparkan mangsa ditemukan terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang di kawasan perumahan di Mutiara Damansara oleh pengawal keselamatan, viral di media sosial. – 18 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen