Tiada virus Marburg dikesan di Malaysia setakat ini, kata menteri


Virus Marburg dikesan pada kelawar buah yang menjangkiti manusia di mana ia merupakan keluarga virus yang sama menyebabkan Ebola. – Gambar Facebook, 25 Mac, 2023.

TIADA virus Marburg dikesan di Malaysia setakat ini, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Bagaimanapun beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus membuat langkah pengawasan bagi mengurangkan risiko penularan.

Katanya pengawasan dan pemantauan terutamanya di pintu masuk antarabangsa negara akan diperhebat selain mengikuti perkembangan virus berkenaan dari semasa ke semasa.

“Apabila ada berita mengenai virus seperti ini kita akan buat pemantauan khususnya kepada mereka yang datang dari Afrika.

“Namun setakat ini belum ada apa-apa lagi yang dikesan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Tinjauan Mesra Bazar Ramadan 2023 Peringkat Negeri Johor di Bazar Ramadan Sekijang, Taman Utama di Segamat, hari ini.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari Afrika untuk membuat pemeriksaan di hospital dan klinik berhampiran sekiranya gejala kesihatan merosot.

Terdahulu Kementerian Kesihatan Malawi mengeluarkan amaran mengenai penyakit virus Marburg yang setakat ini sudah meragut lima nyawa di wilayah barat laut Kagera, Tanzania. – Bernama, 25 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen