Penyelia kilang rugi RM164,601 terpedaya Love Scam


SEORANG penyelia kilang mengalami kerugian RM164,601 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian, Love Scam selepas berkenalan dengan seorang wanita di laman Facebook dua tahun lepas.

Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf berkata lelaki berusia 56 tahun itu kemudiannya ditawarkan skim pekerjaan sambilan di sebuah platform menerusi pautan yang dihantar ke aplikasi WhatsApp pada Disember 2022.

Beliau berkata semua urusan perkenalan dan perniagaan antara mangsa serta suspek seterusnya hanya menerusi aplikasi WhatsApp tanpa bersemuka.

“Setelah tiga bulan melakukan kerja sambilan itu, akaun platform perniagaan mangsa disekat atas alasan pelanggan tidak menerima barang yang ditempah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru beliau berkata mangsa berhasrat untuk menutup akaun berkenaan dan mahu mengeluarkan wang keuntungan yang dicatatkan iaitu sebanyak RM700,000 namun dikatakan perlu membayar wang pemprosesan, cukai kerajaan termasuk pengurusan wang kastam untuk menebus keuntungannya.

Ramli berkata mangsa melakukan 14 kali transaksi ke tiga akaun berlainan berjumlah RM164,601 menggunakan wang simpanannya antaranya di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata usaha mangsa menghubungi wanita yang memperkenalkan platform perniagaan tersebut gagal dan hanya memaklumkan berada di luar negara atas urusan perubatan ibunya.

Sehubungan itu mangsa yang berasa terpedaya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Bernama, 25 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen