Muda mahu keputusan permohonan sertai Pakatan


Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu telah menghantar tiga surat bertanyakan permohonannya untuk menyertai Pakatan Harapan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2023.

MUDA mahu Pakatan Harapan membuat keputusan berhubung permohonannya untuk menyertai gabungan itu.

Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu telah menghantar tiga surat bertanyakan permohonannya untuk menyertai PH, selepas memohon sebelum pilihan raya umum ke-15.

Ahli Parlimen Muar itu berkata Muda bukan mahukan jawatan dalam kerajaan Persekutuan.

“Kami setia. Kami menyokong Anwar Ibrahim sebelum pilihan raya, semasa pilihan raya, selepas pilihan raya, dan sehingga sekarang.

“Kami tidak mengharapkan jawatan. Tetapi ia mengenai keupayaan untuk menjadi sebahagian daripada penggubal dasar dan menentukan masa depan negara,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Parlimen hari ini.

Syed Saddiq berkata parti itu bersedia dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan PH.

“Apa sahaja jawapan yang mereka berikan kami akan terima tetapi kami perlukan jawapan. Supaya proses ini ada muktamad,” katanya.

Beliau berkata ketidakpastian itu menjejaskan persiapan parti berasaskan belia untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang. – 20 Mac, 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen