Hadi kecam pesta kezaliman, pendakwaan terpilih


Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut menyatakan tindakan undang-undang sebegitu haram di sisi Islam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2023.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang mengutuk siasatan serta pendakwaan yang menurutnya dilaksana secara terpilih dan juga dengan kezaliman pada waktu ini..

Hadi juga mengecam tindakan pendakwaan berkenaan yang menurutnya dibuat bagi menegakkan kuasa yang salah, katanya dalam tulisan disiarkan organ PAS Harakahdaily.

Beliau berkata demikian dalam tulisan yang muncul seminggu selepas rakan sejawatnya dalam PN Muhyiddin Yassin diheret ke mahkamah.

Dalam tulisan itu, Hadi turut mengambil peluang untuk menjatuhkan hukum bahawa tindakan undang-undang sebegitu haram di sisi Islam.

“Kita sedang menyaksikan pesta kezaliman yang nyata. Berlaku tindakan menyiasat, menahan, dan mengheret ke mahkamah sesiapa sahaja secara tergesa-gesa dan terpilih.

“Perkara ini berlaku disebabkan agenda politik bagi meneguhkan kuasa yang salah, bukan berkonsepkan keadilan yang wajib ditegakkan dengan proses yang betul tanpa gangguan yang salah.”

Tambahnya, tindakan seperti itu haram apabila pendakwaan hanya dijalankan berdasarkan tuduhan yang dilaporkan media.

“Haram bertindak terhadap seseorang berpandukan berita tuduhan yang disiarkan dahulu melalui media, tanpa berhati-hati mengikut proses penyiasatan serta prosedur kehakiman yang betul dan beradab.

“Lebih malang lagi, apabila mereka sengaja mencipta tuduhan dengan pemberitaan yang penuh dengan putar belit fasiq dan fitnah, selain saksi yang dicipta bagi menjatuhkan sesiapa sahaja kerana alasan permusuhan.”

Tulisan itu juga muncul sewaktu kesemua parti sedang membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya yang akan dilangsungkan di enam negeri tidak lama lagi.

Pendakwaan ke atas presiden Bersatu itu memberi kesan besar ke atas PAS yang kini terpaksa membantu membiayai kempen parti berkenaan dalam pilihan raya negeri itu.

Ia ekoran tindakan pihak berkuasa membekukan akaun parti Bersatu bagi siasatan ke atas Muhyiddin dan beberapa pemimpin lain parti itu. – 18 Mac, 2023.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen