Penduduk Kelantan terus bergelut demi kelangsungan hidup


Thor Kah Hoong

Hussin lebih senang turun ke sungai untuk menebar jala bagi mencari rezeki untuk keluarga. – Gambar The Malaysia Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Jun, 2017.

KEADAAN parti politik dan ekonomi perlulah seiring. Di Kelantan, tempat di mana berpusatnya PAS, faktor itu mungkin ada signifikannya dalam pilihan raya umum akan datang.

Kota Baru menyajikan gambaran sebuah bandar sibuk dengan deretan kedai yang padat serta jalanraya dipenuhi kenderaan, namun hakikatnya, di kebanyakan kampung, banyak rumah yang usang, hanya beberapa rumah dibina lebih tinggi selepas banjir, laluannya sempit dan kotor, dan kehidupan adalah sesuatu yang sukar bagi kebanyakan mereka.

Situasi lembap di Kelantan adalah kesimpulan terbaik bagi Adonai, seorang pesara yang ditemui di pelabuhan nelayan Tok Bali. Dia menjinjing beg berisi sekilo setengah ikan kembung hampir rosak, berharga RM10 bagi enam ekor kucing peliharaannya, sementara menunggu si isteri, seorang pesara guru, membeli lauk untuk mereka sendiri.

Ditanya mengenai taraf hidup di Kota Baru, Adonai memberi jawapan klise: “Pergi ke kedai bawa RM50 untuk beli beras dan minyak dan dapatlah sedikit baki”. 

Dia tidak ingin memanjangkan bicara politik Kelantan, dengan sopan menegaskan tidak berminat berpolitik, tidak mengikut perkembangan politik, gembira dengan aktiviti berkebunnya.

Pendirian diplomatiknya terserlah jua apabila mengesahkan empat anak beserta keluarga mereka sudah pun berhijrah ke Kuala Lumpur demi masa hadapan. 

Ini menjelaskan: “Orang muda mahu kehidupan lebih baik. Di Kelantan… kalau kepentingan agama, kemewahan…(sambil membiarkan ayatnya tergantung).

Hussain, juga seorang pesara kakitangan awam, menghabiskan sebahagian masanya di sebelah pagi dengan berkaki ayam berpalit lumpur sedalam pergelangan kaki di tebing Sungai Kelantan, di Kok Majid, Tumpat, menebar jala mencari lauk untuk hidangan tengah hari untuk dia dan tiga cucunya.

Dia juga mendakwa tidak terlibat dalam politik, dan berasa secara umumnya harga tidak banyak berbeza, ada yang naik, ada yang turun. Ia mungkin menjelaskan Mungkin ini menjelaskan rasa puas hatinya menjalani hari persaraannya yang serba sederhana.

Sungai itulah yang memberi makan dia dan keluarganya, tetapi tangkapan hari itu cuma beberapa ekor udang dan ikan kecil, dibongkar keluar dari perut sungai berwarna coklat teh tarik, jauh berbeza daripada tahun terdahulu. Jawapannya kepada aliran Sungai Kelantan yang berlumpur? “Politik. Balak.”

Ironinya, dia turut memetik ungkapan yang sama seperti yang tidak sempat diluahkan David Teo kepada perdana menteri sebelum ditampar: “Sekali air pasang, sekali pantai berubah.” Membayangkan pemimpin PAS baru akan membawa PAS yang berbeza.

Fauzi, peniaga kecil berusia awal 30-an, di awal pagi hari pertama Ramadan, berada di sebuah gerai usang hampir roboh di tepi jalan raya di Bachok untuk membeli daging lembu. 

Menurutnya, gerai tersebut dibangunkan seorang penduduk kampung kerana kedua-dua gerai terdahulu yang kerap dikunjungi sudah menaikkan harga jualan.

Jawapan Fauzi apabila ditanya sama ada harga barangan asas stabil atau naik? Dia ketawa.

“Ada harga turun? Harga apa barang?

Dia memperlekehkan ahli politik dengan ketawa sinisnya lagi, sambil terus menunggang motosikal dengan sebelah tangan menggenggam kaki lembu yang masih menitiskan darah:

“Politik. Bila ada pilihan raya, dia janji, dia janji, janji, janji, semuanya hanya janji, tak ada action. Tengok kampung ini. Mana ada action?  

Penduduk di muara Sungai Kelantan menaiki bot untuk pulang ke kampung masing-masing. Daripada 16 pulau di kawasan sekitar itu, 13 daripadanya mempunyai penduduk. – Gambar The Malaysia Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Jun, 2017.

Pandangan serupa tentang politikus disuarakan Rokiah di sebuah kampung di pinggir Gua Musang, yang kesan dilanda banjir masih kelihatan, memburuk dan dimamah usia. “Dia cakap, dia cakap, cakap, cakap, semua cakap saja. Apa buat?”

Nota: Rokiah ialah nama samaran. Walaupun bersedia bercakap tentang situasinya, dia enggan memberikan nama sebenarnya atau membenarkan gambarnya diambil, kerana ujarnya namanya, gambarnya dan komentar kritikalnya mungkin dilihat satu atau kedua-dua belah pihak politik, dan dia akan disenaraihitamkan dan bantuan mungkin akan dihentikan.

Mulanya, dia tidak menyatakan sokongan politiknya, hanya menyuarakan pendirian pragmatik yang sesiapa sahaja yang menghulurkan bantuan, dia akan beratur untuk terima. Siapa yang diundinya adalah rahsia. Akhirnya dia mendedahkan juga yang dia adalah penyokong BN.

Rumah Rokiah, disebelahnya ada tiang mengibarkan tanda berkarat Semangat 46, sama seperti rumah lain yang ada di situ- kayu, beratap zink, berhabuk lantainya- di seberang jalan yang di depannya adalah landasan keretapi, pengguna duduk menunggu ketibaan keretapi sementara kanak-kanak bermain lompat-lompat antara dua bilah landasan.

Dia mengadu tentang bantuan yang diterimanya, menerimanya yang ada bantuan yang dibahagikan, yang perlu berbaik-baik dengan penghulu, barulah boleh disukai dan menerima lebih bantuan. Dia menjelaskan yang dia tidak menganggap dirinya disukai, kerana katanya dia hanya menerima RM1,500 selepas banjir itu, dan dia menggunakan jumlah itu sekelip mata untuk rumah kayu buruknya dan jiran-jirannya yang lain.

Sambil mengeluh dia mengatakan yang seorang Datuk diberikan tiga rumah baru kos rendah di pinggir kampung.

Mat dan Shukri, nelayan di Pantai Sanok, Bachok juga mempercayai yang ada sistem serupa yang memberikan faedah kepada “Datuk”.  

Tengahari yang membahang itu, pada hari pertama Ramadan, Shukri sedang menjerumat jala dan Mat sedang melelapkan mata di sebuah wakaf. Ia adalah permulaan kepada larangan tiga bulan apabila nelayan pesisir pantai tidak dibenarkan keluar menjala, hanya menggunakan rod dan tali pancing, supaya ikan kecil ada masa untuk membesar.

Secara teorinya. Realitinya pula nelayang asing menceroboh masuk- tangkapan yang tidak cukup besar untuk dijual akan dijadikan makanan ikan dan baja. Memburukkan lagi keadaan, ada nelayan laut dalam ialah milik Malaysia.

Mat berkata, “Kami buat laporan, bagi mereka nombor bot. Seminggu kemudian, kami pergi periksa, mereka kata bot itu milik seorang datuk, tak boleh buat apa-apa.”

Sebuah bot sempit, yang lunasnya hampir mencecah air dengan bunyi bising enjinya melintas dan Mat berkata: “Itulah jenis bot yang kami pakai. Tangkap lebih kurang 10kg sehari kalau kami bernasib baik, dapatlah lebih kurang RM300 sebulan.”

Lapan orang anak Mat semuanya mempunyai ijazah atau diploma. Dia tertawa mendengar cadangan sekiranya ada antara anaknya yang mahu menjadi nelayan.

Menyentuh soal politik, kedua-dua mereka mulanya mendiamkan diri, Mat berkata dia tiada apa-apa hendak dikatakan, yang dia tidak menyokong mana-mana parti.

Shukri menambah berkata yang hanya bila pilihanraya dekat wakil rakyat baru tunjuk muka, “Tak nampak sebelum, tak nampak selepas.”

Perpisahan Amanah daripada PAS menarik perhatian mereka.

Mat percata yang pergaduhan itu boleh menimbulkan masalah kepada PAS.

Bagaimana pula dengan hubungan PAS dan Umno yang makin rapat?

Mat: Jika Umno kahwin dengan PAS, Amanah akan dapat sokongan. Tok Hadi dan Tok Guru bukan orang yang sama. Tok Hadi di Terengganu. Tok Guru di Kelantan. Apa harta yang Tok Guru tinggalkan bila dia meninggal? Pergi tengok rumah dia. Sekarang anak lelakinya, sebab politik, ikut Tok Hadi.

Bukan soal kami sokong atau tidak sokong PAS. PAS dulu dan PAS sekarang berbeza.

Shukri: Kalau bukan Amanah, BN (yang akan dapat sokongan).

Mat: PAS tak bagi apa-apa. BN bagi itu, bagi ini. Datuk Najib (Perdana Menteri dan Presiden Umno Najib Razak) bagus, bagi kami jala ikan RM100, bagi semua orang GST.

Wanita yang mencuri tepung susu untuk anaknya, ditahan. Lelaki yang rompak berjuta, dia bebas. – 4 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen