Pahang hantar bantuan banjir kepada Johor, kata MB


Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail (tiga dari kanan) melancarkan misi kemanusiaan Pahang Prihatin ke Johor hari ini. – Gambar Facebook Wan Rosdy Wan Ismail, 3 Mac, 2023.

PRIHATIN dengan keadaan mangsa banjir di Johor, kerajaan Pahang menyampaikan bantuan barangan berjumlah hampir RM80,000 bagi meringankan beban penduduk yang terjejas akibat bencana itu.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata sumbangan itu merupakan sokongan moral dari Pahang kepada Johor yang dikatakan agak kritikal, selepas negeri berkenaan mula dilanda banjir awal minggu ini.

Beliau berkata bantuan seumpama itu sudah menjadi amalan Pahang, dalam usaha membantu negeri lain yang terjejas akibat banjir, misalnya sebelum ini bantuan sama turut dihantar ke Terengganu dan Selangor.

Sebanyak enam barang keperluan dihantar ke negeri selatan tanah air itu menerusi misi bantuan kemanusian Pahang Prihatin ke Johor iaitu toto, tikar, lampin pakai buang kanak-kanak, air mineral, kit kebersihan dan ‘refreshment kit’.

“Kerajaan negeri terpanggil untuk menghantar bantuan dalam bentuk barangan yang dilihat semestinya menjadi keperluan mereka… diharap sedikit sebanyak ia dapat membantu dan melegakan mangsa banjir,” katanya kepada pemberita ketika hadir melancarkan misi kemanusian itu ke Johor di Kuantan hari ini.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, jumlah mangsa banjir di Johor adalah 32,719 orang, menurun sedikit daripada 33,149 yang direkodkan pagi tadi.

Banjir yang menjejaskan semua 10 daerah di negeri itu, menyaksikan pemindahan 9,253 keluarga ke 218 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Segamat menjadi daerah paling teruk dilanda bencana itu.

Mengulas mengenai situasi banjir di Pahang, Wan Rosdy berkata pihaknya sudah mengambil langkah proaktif dan menguruskan segala bentuk persiapan, bantuan makanan dan PPS dengan baik.

Sehingga jam 1 tengah hari, mangsa banjir di Pahang mencatatkan seramai 2,194 orang daripada 663 keluarga yang ditempatkan di 24 PPS di lima daerah yang terjejas iaitu Temerloh, Maran, Rompin, Pekan dan Bera. – Bernama, 3 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen