Masyarakat India tak lupa salahnya, tetapi sedia beri peluang lagi kepada Dr Mahathir


Kamles Kumar

Dr Mahathir Mohamad semalam mengakui yang masyarakat India terabai sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun, sebahagian besarnya adalah salah MIC. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 Mac, 2018.

MASYARAKAT India yang merasakan mereka terabai ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad mengatakan mereka bersedia melupakan masa silam dan menerimanya kembali menjadi perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun masih tidak yakin sepenuhnya yang pemimpin itu sudah berubah.

Mereka yang ditemui pada sesi dialog bersama pengerusi PH anjuran Hindraf semalam berkata mereka sedia menerima negarawan itu sebagai perdana menteri sekali lagi jika pembangkang berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dr Mahathir yang kini berusia 92 tahun dinamakan sebagai calon perdana menteri PH dituduh mengabaikan kaum India sepanjang pentadbirannya sebelum ini selama 22 tahun.

Semalam, buat pertama kali beliau menjelaskan serta mengakui yang masyarakat India, kaum ketiga terbesar negara lebih miskin berbanding kaum lain dan terabai.

Tetapi pengakuan itu juga meletakkan kesalahan pengabaian itu kepada parti mewakili masyarakat India, MIC yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Semasa sesi soal jawab, Dr Mahathir menjawab soalan mengenai isu kebajikan masyarakat itu dan mengatakan MIC menyalah guna peruntukan diberikan kepada masyarakat India serta tidak mengutarakan masalah masyarakat itu yang perlu ditangani.

S Muniandy, seorang pesara mengatakan walaupun penjelasan Dr Mahathir tidak menyakinkan, dia percaya yang pengerusi Bersatu itu kini sudah berubah.

“Dia perlu lebih menyakinkan. Tetapi, dia tunjuk tanda yang positif. Masalahnya, MIC tak beritahu dia (tentang masalah masyarakat India).

“Dia bukanlah Tun yang lama. Dia sudah berubah. Dia mahu buat perkara yang betul untuk negara,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui selepas majlis semalam.

Dr Mahathir Mohamad kini berdepan usaha getir menyakinkan masyarakat India yang selama ini terabai dan dipinggir untuk menyokong Pakatan Harapan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 Mac, 2018.

Bekas peguam, Shanmugam bersetuju yang MIC turut bertanggungjawab dalam masalah dan pengabaian masyarakat India.

“Dr Mahathir jelaskan dengan agak baik. Pihak berkepentingan (MIC) kami lemah. Saya rasa apa yang dia cakap ada benarnya.

“Kami boleh nampak apa yang MIC buat untuk masyarakat India. Kita tak boleh kata peruntukan tak di beri. Tetapi ia di salah guna,” katanya.

Shanmugam berkata walaupun dia tidak percayakan Dr Mahathir “serratus peratus”, bekas perdana menteri itu nampak bersungguh-sungguh dan semangat patriotiknya untuk menyelamatkan negara sangat jelas kelihatan.

“Saya tak boleh buktikan sama ada dia sudah berubah. Tetapi, dia orang yang patriotik. Dia peduli tentang negara dan apa yang berlaku sekarang.”

Menjadikan Hindraf sebagai rakan strategik PH adalah tindakan tepat untuk meraih undi kaum itu di kawasan pinggir dan luar bandar, katanya lagi.

“Hindraf selaku rakan strategik boleh mendekati orang India di kerusi kawasan pinggir dan luar bandar.

“PH tertumpu di bandar, pemimpin India mereka kebanyakannya elitist. Undi perubahan akan datang daripada orang India luar bandar. Di situlah Hindraf akan main peranan,” katanya.

Bagi V Logeshn, seorang pelajar undang-undang berusia 24 tahun pula, tindakan silam Dr Mahathir sama ada baik atau buruk tidak boleh menjadi penghalang masa kini kerana tumpuan sekarang adalah masa depan negara.

“Kita tak perlu cakap tentang masa silam, mari tumpu kepada masa depan.

“Dia (Dr Mahathir) adalah calon paling layak yang ada sekarang,” katanya.

Buat pertama kali, suara masyarakat India didengar kerajaan mahupun pembangkang. Masyarakat itu yang selama ini diabaikan kini antara kumpulan penentu sama ada perubahan akan berlaku di Malaysia atau status quo akan kekal.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 Mac, 2018.

Jika Dr Mahathir menjadi perdana menteri sekali lagi, beliau perlu berikrar untuk kembalikan semua hak masyarakat India, kata pesara pekerja bank Sunder Kumar.

Baginya yang berusia 60 tahun itu, hak ini termasuklah sistem kuota untuk masyarakat India di universiti, perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan.

“Selepas Dr Mahathir jadi perdana menteri, dia perlu beri perhatian kepada hal ehwal orang India yang sekian lama diabaikan,” katanya.

Tindakan PH menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri menerima reaksi bercampur baur sejak keputusan itu diumumkan Januari lalu kerana pentadbiran autokratiknya dan kronisme dalam Umno dan perniagaan yang berlaku ketika beliau mentadbir negara.

Dalam kalangan pengundi Cina, penganalisis menganggarkan berlaku penurunan sokongan sebanyak 5% hingga 10% kepada PH kerana penamaannya itu, walaupun majoriti pengundi Cina masih akan terus menyokong pembangkang.

PH percaya Dr Mahathir dan Bersatu pimpinannya adalah peluang terbaik pembangkang untuk merampas undi Melayu luar bandar daripada Umno.

Bagi meraih sokongan masyarakat India, Dr Mahathir mengatakan beliau menganggap Hindraf dan sebuah lagi parti kecil kaum itu, Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) sebagai rakan strategik.

Masalah masyarakat India sepanjang pentadbirannya digunakan untuk menyerangnya, dengan Perdana Menteri Najib Razak mengatakan beliau (Najib) lebih banyak membantu masyarakat itu dalam tempoh lapan tahun berkuasa sejak 2009 dibandingkan dengan Dr Mahathir. – 15 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen