Bekas pembantu makmal bunuh ketua kerani kekal ke tali gantung 


MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas bekas pembantu makmal Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad di Telok Datok, Banting atas pertuduhan membunuh ketua kerani kolej tersebut dengan menikam menggunakan pisau dan mencekik mangsa kerana dendam terhadap wanita itu pada 2018.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Kamaludin Md Said sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan Abdul ‘Azhim Mohamad, 33, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman tidak mempunyai merit.

“Setelah mendengar dan meneliti keseluruhan hujahan perayu (Abdul ‘Azhim) serta responden (pendakwaan), kami bersetuju bahawa rayuan tersebut tiada merit . Oleh itu, rayuan perayu ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Hakim Kamaludin yang bersidang bersama Supang Lian dan Ahmad Nasfy Yasin.

Pada 22 November 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas penjawat awam itu selepas didapati bersalah membunuh Zaimah Mahmod berumur 57 tahun (ketika itu) di kolej berkenaan pada 1.30 tengah hari, 11 Julai 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, seorang rakan sekerja perayu masuk ke dalam bilik stor di kolej tersebut dan ternampak perayu sedang duduk di atas kotak sambil menggenggam tangan serta membuat pengakuan dia telah membunuh wanita berkenaan.

Perayu meminta telefon bimbit daripada rakannya itu kerana mahu menelefon ibu bapanya, polis serta ambulans untuk membuat pengakuan tersebut.

Apabila ditanya seorang cikgu di kolej berkenaan mengapa perayu bertindak sedemikian, dia menyatakan bahawa tindakannya itu kerana dendam terhadap mangsa berkaitan hal peribadi.

Sebelum kejadian itu, perayu yang dilantik sebagai Pembantu Makmal Gred N19 di kolej berkenaan telah ditempatkan di pejabat pentadbiran dan bahagian perpustakaan untuk melakukan kerja kerani dan berhasrat untuk menukar sekolah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee manakala peguam Muhammad Amirrul Jamaluddin mewakili Abdul ‘Azhim. – Bernama, 8 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen