Maqis rampas 18 tan makanan haiwan dari Singapura


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor merampas 18 tan Fat Filled Milk Powder (Makanan Haiwan) dari Singapura bernilai RM47,000 selepas mendapati pihak pengimport menyediakan dokumen yang mengelirukan.

Pengarah Maqis Johor Edie Putra Md Yusof berkata pihaknya menahan sebuah kontena yang membawa produk tersebut di laluan kargo import Maqis, Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru pada pukul 1 tengah hari, semalam.

“Hasil pemeriksaan oleh pegawai penguat kuasa Maqis mendapati pihak pengimport menyediakan dokumen yang mengelirukan dengan maklumat pengilang pada label konsainan tidak sama dengan maklumat pengilang pada sijil kesihatan yang diisytihar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Maqis 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan setiap keluaran pertanian termasuk tumbuhan, haiwan, karkas, ikan dan mikroorganisma import bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar. – Bernama, 8 Februari, 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen