Kes bunuh Tawau: 7 individu termasuk 6 anggota polis akan didakwa


TUJUH suspek terdiri enam anggota polis dan satu orang awam akan dituduh di Mahkamah Majistret Tawau petang ini melibatkan kes pembunuhan seorang lelaki pada 13 Januari lepas di Tawau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Idris Abdullah berkata pihak polis melengkapkan siasatan kes tersebut dan kertas siasatan lengkap dimajukan ke Pejabat Peguam Negara semalam.

“Semua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 kanun yang sama kerana bersubahat.

“Kesalahan ini memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya menerusi kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata seramai lapan anggota polis dan tiga orang awam ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

Pada 31 Januari lepas Idris ketika memberitahu perkembangan semasa kes itu dilapor berkata kes bunuh itu bermotifkan cemburu dan lebih bersifat peribadi serta tidak melibatkan isu keselamatan di Sabah.

Sehari sebelumnya seorang penganggur Nurima Juli, 33, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, di ladang sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas, Batu 5, di Kota Kinabalu antara 7.30 dan 9 malam 13 Januari lepas. – Bernama, 8 Februari 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen