Pelajar Malaysia di Turkiye sahkan mereka selamat


Orang ramai mencari mangsa yang terselamat di Diyarbakir, Turkiye selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda tenggara negara itu. – Gambar AFP, 6 Februari 2023.

PERSATUAN Pelajar Malaysia di Turkiye (Masat) mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berkenaan pelajar Malaysia yang terkesan akibat gempa bumi bermagnitud 7.8 yang menggegarkan selatan Turkiye pada Isnin.

Presidennya Adib Azman ketika dihubungi melalui WhatsApp berkata, persatuan berkenaan membuat hebahan dan menghubungi pelajar di kawasan terkesan termasuk di Gaziantep yang merupakan bandar terdekat dengan pusat gempa.

Menurut pelajar tahun ketiga di Universiti Istanbul itu, dua pelajar Malaysia yang menuntut di sebuah universiti di Gaziantep disahkan selamat.

“Kami juga ada membuat semakan dengan pelajar tahfiz (warga Malaysia) di sana dan dilaporkan ada asrama mereka yang ranap disebabkan gempa bumi dan ada dalam kalangan rakan mereka dari negara lain yang syahid.

“Namun alhamdulillah setakat ini tiada pelajar tahfiz Malaysia yang terkesan dan dilaporkan mereka berlindung di masjid buat sementara waktu,” katanya.

Adib yang menuntut dalam jurusan Pengajian Islam (Uluslararası Ilahiyat) berkata, terdapat kira-kira 200 pelajar Malaysia di Turkiye dengan 168 daripadanya adalah pelajar universiti yang berdaftar dengan persatuan itu, manakala selebihnya pelajar tahfiz atau sekolah tinggi.

“Bagi situasi ini pihak kedutaan Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral di Istanbul sudah menerima makluman keberadaan pelajar berkenaan dan diberikan nombor telefon pelajar di sana sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pelajar Malaysia di negara itu untuk segera memaklumkan kepada Masat sekiranya terbabit dalam apa jua kecemasan dan mendaftar di bawah persatuan untuk keselamatan mereka.

Menceritakan situasi ketika gempa berlaku, Adib berkata beliau yang berada Istanbul hanya merasai gegaran kecil.

“Saya berada di Turkiye buat tahun ketiga dan hanya dua kali sahaja saya merasai pengalaman gempa bumi. Istanbul jarang sekali ada gempa bumi yang agak serius dan biasanya terkesan sedikit gegaran.

“Ada sekali gempa bumi di kawasan yang jarak perjalanannya 2 jam dari Istanbul dan kami dapat rasa gegaran di sini, masa itu dalam pukul 3 pagi. Saya terjaga, katil dan almari bergoyang dalam satu minit,” katanya.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang menetap di Istanbul, Mohd Khaidir Zainoddin turut merasakan gegaran kecil ketika gempa bumi itu berlaku, namun bersyukur aktiviti kembali normal pada sebelah pagi.

“Di Istanbul angin ribut kuat, salji turun dan hujan lebat. Waktu gempa itu berlaku saya tidur, saya hanya rasa gegaran sikit,” katanya.

Pekerja sambilan syarikat televisyen tempatan itu berkata beliau bagaimanapun masih belum dapat menghubungi rakan-rakannya yang berada di kawasan yang terjejas akibat gempa.

Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye awal pagi Isnin berhampiran bandar Gaziantep meragut 912 nyawa di Turkiye, manakala 476 lagi kematian direkodkan di negara jiran Syria.

Sementara itu, satu lagi gempa kuat bermagnitud 7.2 berlaku 99km barat dari Malatya, Turkiye pada jam 6.24 petang Isnin. – Bernama, 6 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen