Zahid isytihar tempoh bertenang selesai kemelut politik Sabah


PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kini adalah tempoh bertenang untuk semua pihak mencari titik persamaan dan memahami perbezaan antara satu sama lain bagi mencari jalan penyelesaian kemelut politik di Sabah.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata penyelesaian juga memerlukan persefahaman dua hala antara Umno dan Barisan Nasional (BN) bersama rakan parti politik lain di negeri ini.

“Ia (berapa lama tempoh bertenang) amat subjektif tetapi yakinlah lambat tapi pasti (penyelesaian diperoleh)… jika semua pihak mahu mencari penyelesaian kita boleh duduk secara tertutup cari penyelesaian apa cara sekalipun itu boleh dilakukan dengan tuntas,” kata beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN).

Zahid berkata dalam tempoh bertenang itu beliau memohon semua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang interpretasi, spekulasi atau kenyataan bercanggah bagi memastikan usaha mencari penyelesaian itu berjalan lancar.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Umno Sabah di Kota Kinabalu hari ini Zahid berkata semua pihak yang terlibat perlu ikhlas dalam mencari kaedah dan pendekatan terbaik yang mampu memberi situasi “menang-menang” kepada semua pihak terutama rakyat Sabah sendiri.

Beliau berkata keberadaan beliau di Sabah dan tindakan beliau sendiri untuk menangani kemelut itu juga menunjukkan kepimpinan Umno dan BN tidak pernah memandang enteng terhadap kemelut itu dan mahukan penyelesaian terbaik.

“Tiada perkara atau isu yang tidak boleh diselesaikan, banyak pendekatan yang akan kita ambil dan kaedah (menyelesaikan kemelut politik) kita susun atur, namun kita faham penyelesaian ini perlukan persefahaman dua hala.

“Dalam hal ini pendekatan kita tentunya beri keutamaan kepada agenda rakyat Sabah, dan juga memberikan pencerahan kepada kekeliruan yang ada,” kata beliau.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin yang juga pengerusi BN Sabah.

Pada 6 Januari, Bung Moktar mengumumkan Umno dan BN Sabah menarik sokongan daripada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor sebagai ketua menteri kerana mendakwa Hajiji melanggar perjanjian membentuk kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 pada 2020.

Zahid berkata Kerajaan Perpaduan di Sabah, merupakan antara kaedah penyelesaian kemelut politik yang ingin diterjemahkan Umno dan BN di negeri itu, kerana ia bukan hanya melibatkan hal ehwal kerajaan Sabah tetapi juga melibatkan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.

Ditanya mengenai tindakan terhadap lima Adun Umno yang memberikan sokongan kepada Hajiji dan kerajaan Sabah itu, Zahid berkata isu itu dibincang dalam mesyuarat tadi dan yakin penyelesaian terbaik akan ditemui selepas ini.

“Kaedah penyelesaiannya kita ada Lembaga Disiplin Umno, siasatan dilakukan lembaga disiplin baru diserah kepada Majlis Tertinggi Umno untuk keputusan,” kata beliau.

Lima Adun Umno itu ialah Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), James Ratib (Sugut), Yusof Yacob (Sindumin), Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Pada 10 Januari lepas, Hajiji mengumumkan rombakan Jemaah Menteri Kerajaan Sabah, antara lain melantik Shahelmy sebagai timbalan ketua menteri III serta James sebagai menteri pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat negeri. – Bernama, 30 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen