Pecat, gantung ahli ikut Perlembagaan Umno, kata ketua penerangan


Isham memuat naik kenyataan itu di Facebooknya, hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2023.

PEMECATAN dan penggantungan beberapa ahli Umno seperti diumumkan parti itu Jumaat lepas adalah sah di sisi Perlembagaan Umno, undang-undang dan peraturan, kata Ketua Penerangan Umno Isham Jalil.

Beliau berkata berdasarkan makluman peguam Umno dan mengikut Perlembagaan Umno, proses tindakan pemecatan atau penggantungan ahli hanya perlu dirujuk kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sahaja.

Isham yang juga Ahli MKT Umno berkata proses-proses lain yang melibatkan Lembaga Disiplin dan sebagainya, sebenarnya hanyalah pengurusan dalaman yang dipraktikkan.

“Oleh itu, apabila Majlis (Kerja) Tertinggi telah memperakukan pemecatan dan penggantungan ahli Umno, maka pemecatan dan penggantungan itu adalah sah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat MKT Umno pada Jumaat menyatakan Ahli MKT  Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dipecat atas sebab pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan Umno.

Turut dipecat ialah lima ahli Umno Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli Umno Bahagian Putrajaya, dua ahli Umno Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli Umno dari Pahang.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Sembrong Hishammuddin Hussein, Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Sufian Hamdan, Ketua Umno Bahagian Tebrau Maulizan Bujang dan Ketua Umno Bahagian Jempol Mohd Salim Mohd Sharif digantung hak dalam parti selama enam tahun.

Menurut Ahmad  antara kesalahan mereka ialah menjadi calon Bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN) dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU15.

Isham berkata beliau yakin Lembaga Disiplin Umno telah meneliti laporan dan bukti-bukti yang ada sebelum membuat keputusan selain menekankan Ahli MKT Umno tidak campur tangan dalam proses siasatan dan keputusan yang dilakukan.

Tambahnya Noh, Khairy dan lain-lain masih boleh bertemu Lembaga Disiplin, membela diri dan merayu beberapa kali.

“Jika Tan Sri Noh dan Khairy serta yang lain-lain boleh mengalahkan bukti-bukti terhadap mereka yang menunjukkan mereka bersalah, saya percaya Lembaga Disiplin akan membuat keputusan yang seadilnya,” katanya. – Bernama, 29 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen