PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) akan menggunapakai sempadan bahagian pilihan raya yang berkuatkuasa ketika Parlimen dibubarkan, kata menteri.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said, kajian persempadanan tersebut masih sedang dipersiapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, Azalina bagaimanapun tidak menyatakan sekiranya persempadanan semula itu akan dapat digunakan dalam pilihan raya umum ke-14.
“Urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya bagi negeri-negeri Tanah Melayu kini sedang disiapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum tempoh dua tahun kajian tamat pada 14 Semptember 2018,” katanya.
Kajian itu dibuat selaras dengan Perkara 113(2)(iii), Perlembagaan Persekutuan, katanya dalam jawapan bertulis pada 6 Mac.
Ahli Parlimen Pengerang itu menjawab soalan ahli Parlimen Seremban Anthony Loke (DAP) yang meminta perdana menteri menyatakan status terkini proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dan sama ada sempadan baru akan diguna pakai untuk PRU14.
Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan masih belum memutuskan tarikh untuk membawa usul cadangan persempadanan semula SPR untuk kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ahmad Zahid mengesahkan kerajaan telah menerima laporan SPR pada Jumaat, namun berkata perbincangan masih belum dibuat dengan Perdana Menteri Najib Razak dan Speaker Pandikar Amin Mulia berhubung perkara itu.– 12 Mac, 2018.
Komen