Saya rasa seperti dibuli kepimpinan Umno, kata Hasni


Hasni Mohamad (tengah) digugurkan sebagai pengerusi Umno Johor dalam pembersihan besar-besaran dilakukan parti itu, walaupun mengetuai jentera parti yang menang besar pada PRN 2022. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2023.

HASNI Mohammad berkata beliau merasakan seperti dibuli kepimpinan Umno walaupun mempunyai banyak pencapaian untuk parti itu di Johor termasuklah kejayaan pada Pilihan Raya Negeri 2022.

“Saya sedaya upaya memberikan yang terbaik sejak menjadi pengerusi Umno Johor sejak 2018 dan mengetuai PRN Johor pada tahun lalu dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya dipetik Astro Awani.

Beliau juga dipetik berkata yang keputusan penguguran itu dibuat hanya kerana beliau menyokong cadangan jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Hasni adalah antara yang terkesan dalam usaha pembersihan parti yang turut menyaksikan pemecatan bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Umno Selangor Noh Omar.

Ahli Parlimen Sembrong Hishammudin Hussein, bekas Ahli Parlimen Jempoh Mohd Salim Shariff dan bekas Adun Tiram Maulizan Bujang pula antara 44 ahli yang digantung enam tahun.

Hasni yang turut menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Jumaat berkata beliau tidak ada ketika keputusan pemecatan dan penggantungan itu dibuat.

“Saya ada juga mendengar desas-desus perkara itu sebelum MKT malam tadi tetapi saya tidak berada sepenuhnya dalam bilik mesyuarat yang sebenarnya telah pun membuat keputusan tersebut,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan kepimpinan Umno yang sebarang keputusan tidak sepatutnya memberi kelebihan kepada parti lawan tetapi menguatkan Umno, sesuatu yang tidak berlaku dengan pembersihan yang berlaku sekarang.

“Kita tahu ada sahaja yang mengatakan patah tumbuh hilang berganti tetapi Umno tidak punya masa. Sepatutnya kekuatan yang kita ada diperkuatkan lagi. Pemimpin tidak lahir hari ini dan terus diterima masyarakat kerana ia perlu masa panjang.

“Jadi adakah Umno ada masa yang panjang untuk berdepan cabaran yang ada bersaing dengan pengaruh parti lain dalam negara khususnya yang memperkatakan soal (perjuangan) agama, orang Melayu dan masa depan (mereka).

“Jadi bagi saya keputusan dibuat pucuk pimpinan lebih banyak ruginya kepada Umno. Saya harap Hishammuddin, Noh Omar, Khairy dan Shahril terus berkhidmat dalam kapasiti masing-masing. Saya yakin mereka tidak akan hilang menerusi platfrom lain,” katanya dipetik lagi.

Keputusan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin kanan parti turut dipersoalkan ahli MKT yang lain.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tanpa sebarang nasihat Lembaga Displin.

Bekas perdana menteri itu juga berkata keputusan itu bercanggah dengan prinsip keadilan kerana mereka yang dipecat atau digantung tidak diberi peluang membela diri.

“Saya menyatakan tidak setuju dengan keputusan tersebut atas alasan pemecatan dan penggantungan dibuat tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip ‘natural justice’ seperti hak membela diri,” katanya malam tadi. – 29 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen