Barisan belum tentukan kerjasama dengan siapa hadapi PRN, kata Tok Mat


Mohamad Hasan tidak menolak kemungkinan kerjasama yang ada di peringkat kerajaan pusat diteruskan untuk menghadapi PRN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2023.

BARISAN Nasional (BN) belum membuat keputusan mengenai kerjasama politik dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata BN masih dalam peringkat menyusun dan melihat strategi terbaik bagi menghadapi pilihan raya itu nanti.

“BN akan membuat persiapan jentera dulu, bagaimana cara untuk menghadapi pilihan raya nanti, siapa sekutu kita belum ditentukan.

“Saya belum dapat menjangkakan strategi yang bagaimana perlu dibuat dengan siapa kita mahu berganding bahu… itu belum cerita lagi mengenai pembahagian kerusi, banyak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis graduasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri di Seremban hari ini.

Mohamad yang juga pengarah pilihan raya BN berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kerjasama yang ada di peringkat kerajaan pusat termasuk bersama Pakatan Harapan (PH) diteruskan untuk menghadapi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kemungkinan besar ada, apa pilihan yang kita (BN) ada, dalam keadaan begini, tidak banyak pilihan, pilihan yang ada terhad, (BN) mesti melihat pilihan mana yang terbaik,” katanya.

Mohamad berkata BN juga membentuk jawatankuasa kecil bagi menjalankan post mortem susulan kekalahan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

Katanya hasil post mortem itu termasuk jumlah undi yang diperoleh semasa PRU15 mengikut pusat daerah mengundi akan dijadikan rujukan untuk menghadapi PRN.

“Pertama mahu lihat post mortem, isu dan masalah dan baru lihat cara dan strategi bagaimana menghadapi PRN. Kita tidak boleh menidakkan apa yang berlaku kerana PRU15 merupakan PRU terburuk dalam sejarah BN,” katanya. – Bernama, 27 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen