ATM miliki cukup aset pantau Beting Patinggi Ali, kata Mohamad


Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata aset ketenteraan diletakkan di kawasan pertikaian di sekitar Beting Patinggi Ali yang terletak di perairan Sarawak bagi mengelakkan ia dianggap dimiliki negara lain. – Gambar Facebook, 25 Januari 2023.

KEMENTERIAN Pertahanan menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai aset yang mencukupi untuk memantau kawasan pertikaian di sekitar Beting Patinggi Ali yang terletak di perairan Sarawak.

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata langkah berkenaan diambil adalah untuk memantau kehadiran kapal pengawal pantai China dan penting untuk negara meletakkan aset ketenteraan di kawasan pertindihan itu bagi mengelakkan ia dianggap dimiliki negara lain.

“Kita mengawasi keadaan di sana (Beting Patinggi Ali), TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia), TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) dan TDM (Tentera Darat Malaysia) bersedia dan kita juga ada meletakkan aset di kawasan berkenaan.

“Kita meletakkan aset kita untuk mengelakkan tidak menjadi doctrine of estopple (menghalang individu daripada menuntut sesuatu) iaitu apabila anda meletakkan aset di sana (perairan) itu menjadi milik anda,” katanya selepas meninjau projek pembinaan perumahan program Satu Anggota Satu Rumah di Sungai Besi di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad berkata Malaysia tidak menganggap kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan berkenaan sebagai pencerobohan kerana ia adalah kawasan pertindihan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan sebuah portal berita menyatakan bahawa kapal peronda kelas - Kedah milik TLDM, KD Kelantan dilaporkan berada di perairan sekitar Beting Patinggi Ali untuk memantau kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

Sementara itu, mengulas mengenai pembentangan semula Belanjawan 2023, Mohamad berkata kementeriannya melaksanakan penyelarasan dalaman bagi permohonan peruntukan untuk belanjawan itu yang akan dibentangkan 24 Februari ini berdasarkan keutamaan termasuk permohonan tambahan bagi aset dan perbelanjaan mengurus.

Mohamad berkata Kementerian Pertahanan telah selesai membentangkan senarai permohonan dengan mengambil kira hasil negara termasuk mengalihkan projek tertentu dan meminta penambahan berdasarkan keutamaan. 

Beliau berkata ini kerana harga minyak mentah menurun daripada AS$110 (RM470) kepada AS$80 (RM341) satu tong, maka Belanjawan 2023 mengambil kira aspek itu dan berpendapat akan wujud pengurangan hasil serta akan dibahagikan kepada semua kementerian berdasarkan keutamaan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini. – Bernama, 25 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen