PKR akan laksana rancangan 5 tahun bina kekuatan di Kelantan, Terengganu, kata Rafizi


Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata parti itu akan melaksanakan rancangan lima tahun (2023-2028) untuk membina kekuatan anggota dan jentera parti di Kelantan dan Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2023.

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) akan melaksanakan rancangan lima tahun (2023-2028) untuk membina kekuatan anggota dan jentera parti di Kelantan dan Terengganu, kata Timbalan Presidennya Rafizi Ramli.

Beliau berkata perancangan itu perlu dilaksanakan secara jelas dengan setiap pemimpin cabang dan anggota mempunyai tanggungjawab serta peranan masing-masing untuk mendekati masyarakat setempat.

“Mereka (pengundi) perlukan keyakinan untuk bersama PKR yang mana mereka akan melihat dari segi kehadiran, kualiti khidmat yang diberikan dan sebagainya.

“Oleh itu kita ada masa tiga minggu untuk perhalusi dan berbincang dengan pimpinan tertinggi dan dijangka rancangan lima tahun ini dilancarkan pada akhir Februari depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pilihan Raya PKR Negeri Kelantan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri di Kota Bharu hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan dan Terengganu Nik Nazmi Nik Ahmad serta Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan AMK Adam Adli Abd Halim.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berharap semua anggota PKR di Kelantan dan Terengganu mengambil peluang itu untuk bersama-sama memastikan parti terus diterima masyarakat.

Dalam perkembangan lain Rafizi berkata koperasi PKR dijangka dilancarkan pada bulan depan namun bergantung kelulusan Suruhanjaya Koperasi dengan sasaran 20 hingga 30 peratus ahli menyertainya. – Bernama, 21 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen