Pejuang umum keluar GTA, tumpu pengukuhan parti, kata Mukhriz


Perwakilan menghadiri Perhimpunan Agung Pejuang kali kedua di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar Facebook Parti Pejuang Tanah Air, 14 Januari, 2023.

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengambil keputusan untuk berundur daripada Gerakan Tanah Air (GTA) bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti itu sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan, kata presidennya Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan perwakilan dalam Perhimpunan Agung Pejuang kali kedua hari ini, ekoran kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Sebenarnya pada 6 Disember tahun lalu pada mesyuarat Majlis Tertinggi GTA yang mana saya turut hadir sebagai timbalan pengerusi, saya dah maklumkan ketika itu sentimen dalam kalangan ahli-ahli Pejuang ini supaya Pejuang berundur daripada GTA.

“Walaupun begitu, saya ada sedikit ‘caveat’ saya nak nanti dulu keputusan rasmi daripada Perhimpunan Agung yang kita selesaikan hari ini,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Pada PRU-15, parti Pejuang yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen yang ditandingi.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata Pejuang mengambil pendirian untuk kekal terbuka bagi mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana gabungan politik sedia ada bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tahun ini.

“Satu jawatankuasa khas akan ditubuh Majlis Eksekutif Pusat Pejuang untuk menilai segala opsyen yang ada… buat masa ini rundingan belum lagi dibuat, berbincang pun secara tidak rasmi.

“Tetapi dalam masa terdekat ini kita akan bertemu dengan pemimpin daripada gabungan sedia ada ini untuk kita terokai kemungkinan kerjasama yang boleh kita pupuk dengan mereka sekiranya boleh,” katanya.

Mengulas mengenai strategi PRN yang akan datang bekas ahli Parlimen Jerlun itu berkata, Pejuang akan mengetengahkan calon yang dikenali dan disenangi oleh masyarakat setempat selain akan meneliti semula negeri yang akan ditandingi nanti. – Bernama, 14 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen