Anggota imigresen, adik dan orang tengah direman kes 'pasport terbang'


SEORANG anggota imigresen, adik lelakinya dan seorang individu yang disyaki orang tengah direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes suapan berkaitan pengeluaran ‘pasport terbang’ di Sibu.

Perintah reman terhadap mereka yang masing-masing berusia 36, 32 dan 42 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sibu Rommie Ahmad Zaidi selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketiga-tiga lelaki itu ditahan SPRM antara 2.55 hingga 5.35 petang semalam untuk membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SPRM membuat penahanan selepas menerima maklumat mengatakan penjawat awam gred KP19 itu telah meminta dan menerima suapan wang rasuah secara “perbankan dalam talian” pada 2017 dan 2018.

Suapan itu diterima daripada individu yang disyaki menjadi orang tengah aktiviti “pasport terbang” di sekitar Sibu sebagai balasan memasukkan data di dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia bagi melanjutkan tempoh Pas Lawatan Sosial (PLS) yang telah tamah tempoh.

Suapan itu dipindahkan dari akaun individu itu ke akaun bank adik anggota imigresen berkenaan. – Bernama, 12 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen