Belajar tentang penyelewengan dan 1MDB dengan Kleptopoly


Kamles Kumar

Pegawai C4 Ho Yi Jian berkata tujuan utama Kleptopoly ialah untuk memahamkan rakyat Malaysia rasuah, perisytiharan harta dan segala hal yang bersangkut paut dengan 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Mac, 2018.

MAHUKAH anda berlagak kaya-raya seperti mereka yang didakwa terlibat dalam skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB), membeli kapal pesiar mewah Equanimity atau mengumpul harta di Beverly Hills?

Tidak cukup dengan cerita-cerita 1MDB yang diberitakan selama ini, sekarang ini ada pula Kleptopoly, sebuah permainan yang diilhamkan daripada permainan popular Monopoly.

Kleptopoly memberikan pemainnya peluang untuk merasa bagaimana agaknya jadi seorang taikun seperti dalam skandal yang jadi berita utama dunia tentang Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Permainan ini dihasilkan oleh Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), yang dipadankan daripada tindakan saman sivil oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) berhubung dakwaan pencucian wang haram bersabit 1MDB. Ia malah menampilkan hartanah dan harta mewah yang disebut dalam kes itu.

Tujuan utama permainan ini dibuat ialah untuk memahamkan rakyat Malaysia rasuah, perisytiharan harta dan segala hal yang bersangkut paut dengan 1MDB, kata pegawai C4, Ho Yi Jian.

“1MDB ini kes jelas bagaimana mereka yang berkuasa mencuri wang,” kata Ho.

“Permainan ini diilhamkan daripada apa yang berlaku dengan 1MDB serta beberapa skandal kewangan lain di Malaysia… untuk memudahkan orang lebih faham tentang 1MDB.”

Ho berkata permainan itu secara halus menyedarkan pemain-pemainnya tentang perisytiharan harta, urus tadbir yang baik dan pengubahan wang haram.

Cara bermainnya mudah: untuk jadi paling kaya dan paling tidak korup dengan membeli, menyewa dan menjual harta.

Walaupun dipadankan sepenuhnya daripada Monopoly, permainan Kleptopoly ini ada beberapa peraturan tambahan yang diubah suai.

Kleptopoly ialah sebuah permainan yang diilhamkan daripada permainan popular Monopoly tetapi mengguna pakai elemen dalam skandal 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Mac, 2018.

Misalnya, dalam Monopoly, pemain akan dapat $200 pada setiap pusingan tetapi dalam Kleptopoly, pemainnya diberikan RM20 juta yang diistilahkan sebagai “bos kasi gaji”.

Dalam Kleptopoly, apabila pemainnya membeli harta, mereka perlu mengambil sekeping yang diberikan “Kad Ong” untuk menentukan apakah harta yang dibeli itu datang dari sumber yang bersih atau rasuah.

Ada empat petak perisytiharan pada papan permainan Kleptopoly. Apabila sampai ke petak itu, pemain perlu mengisytiharkan harta mereka. Sekiranya didapati terlibat rasuah, mereka akan pergi ke petak Agensi Anti Rasuah, sama seperti jel dalam permainan Monopoly.

Kad Chance dan Community Chest dalam Monopoly digantikan dengan Kad Raja Bomoh, yang dipadankan daripada sosok “raja bomoh” yang jadi terkenal di seluruh dunia tidak lama selepas pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang empat tahun lalu.

Kad ini termasuk kad “pengadu maklumat” yang memberikan imuniti kepada pemain dan kad “penderma misteri” yang memberikan pemain wang tambahan, serta kad “keuntungan daripada filem Hollywood, Wolf of Wall Street, filem yang dikatakan dibikin dengan wang hasil penggelapan dana daripada 1MDB.

Hartanah

Hartanah dalam Kleptopoly, kebanyakannya dipadankan daripada hartanah sebenar yang muncul dalam saman DoJ berhubung 1MDB. Ini termasuk Park Lane Hotel dan Park Laurel Condominium di New York, rumah agam di Beverly Hills dan kediaman di Fleet Street.

Aset lain seperti jet peribadi, cincin berlian, kapal pesiar Equanimity yang baru-baru ini disita oleh pihak berkuasa Indonesia serta “Red Granny Pictures”, parodi kepada Red Granite Pictures, syarikat produksi filem yang dimiliki oleh anak tiri Perdana Menteri Najib Razak, Riza Aziz.

Kleptopoly juga menampilkan hartanah di Kepulauan Cayman, yang mendedahkan pemainnya kepada peranan perlindungan cukai kepada syarikat atau individu yang mahu mengelak daripada cukai dan menyembunyikan harta.

Watak

Dalam Kleptopoly tidak ada token kereta, anjing atau kereta sorong seperti yang ada dalam Monopoly.

Pemain diwakili oleh watak seperti Mr Klepto, MO1, Shopping Mama dan penderma Arab.

Untuk menghasilkan permainan ini, C4 berunding dengan pereka permainan tempatan dan melibatkan Hardknock Creatives untuk mereka watak-watak permainan yang dihasilkan dengan tangan.

Kleptopoly dilancarkan pada Oktober tahun lalu sempena siri jelajah anti kleptokrasi Pakatan Harapan. Sehingga ini, ia terjual sebanyak 400 unit.

Permainan itu dijual dengan harga RM105 setiap satu bagi edisi premium yang mempunyai token tempaan tangan manakala edisi standard berharga RM45. Ia boleh ditempah melalui laman web C4.

Ho berkata C4 tidak menjana keuntungan dengan menjual permainan ini sebaliknya hanya mahu Kleptopoly jadi alat mendidik rakyat Malaysia untuk belajar tentang skandal 1MDB. Beberapa sesi bermain bersama umum dianjurkan sejak beberapa bulan lalu.

“Kita tidak buat untung banyak, untung sikit sangat,” katanya.

Pengarah C4 Cynthia Gabriel berkata idea membuat permainan itu timbul selepas isu skandal 1MDb mula reda di Malaysia sejak berita mengenainya mula tersebar.

“Kesnya ditutup di sini dan media arus perdana mula tidak melaporkannya,” kata Cynthia.

“Selain itu ada juga masalah pemahaman. Sejauh mana sebenarnya isu ini sampai kepada rakyat Malaysia. Bagi orang biasa, istilah dan aliran kewangan terlalu rumit,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menjelang pilihan raya tidak lama lagi, Cynthia berharap Kleptopoly akan jadi popular supaya rakyat Malaysia boleh mendapat maklumat tentang skandal kewangan 1MDB dan kesannya kepada negara.

“Kita harap dekat nak pilihan raya kita dapat jual sebanyak yang boleh. Adakah ini akan jadi permainan pada musim pilihan raya ini, ya, sudah tentu!” – 11 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Satu lg penghinaan kpd geng2 ketuanan rasuah

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • Apa yang penting sekarang ni beri laluan kepada pihak berkuasa yang menangani kes ini. Tak perlu nak buat andaian yang tak berasas. Permainan yang dibuat ni tidak akan selesaikan masalah, sebaliknya memberikan perspektif negatif kepada negara kita.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan