Dalam sejarah pemilihan, presiden Umno tak pernah kalah


Mohd Azizi Jaeh

Perhimpunan Agong Umno bulan ini akan menjadi medan untuk Ahmad Zahid Hamidi mengukuhkan pengaruhnya memenangi kerusi presiden. Adakah Zahid berupaya mengekalkan status presiden yang tidak pernah tewas dalam sejarah pemilihan? – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari 2023.  

PERSETERUAN yang tercetus dalam kalangan pemimpin Umno bukanlah suatu keganjilan dalam sejarah parti terbesar orang Melayu ini. 

Persengketaan kian membahang menjelang pemilihan parti 2023; di satu pihak pro mempertahankan presiden untuk kekal, di satu kem pula terdapat penentang kuat untuk menyingkirkan presiden Umno. 

Petanda wujudnya perpuakan yang bertentangan dalam kepimpinan Umno berpunca daripada tindakan, kecenderungan dan kepentingan strategik untuk mengambil alih kerusi presiden daripada penyandangnya Ahmad Zahid Hamidi. 

Pelbagai modus operandi dilancarkan untuk menjatuh, menumbangkan serta menggantikan presiden Umno yang sedang berkuasa dan presiden yang berkuasa itu pula akan sedaya upaya untuk mempertahankan kedudukannya. 

Umno yang berpegang kepada tali feudalisme dan tradisi ciptaannya telah lama mengikat kepatuhan yang tidak berbelah bagi kepada ketua, berkompromi dengan kelemahan pemimpin dan mendiamkan pengkritik dalaman parti. Amalan ini sebenarnya masih sukar untuk dirombak. 

Bagi mengekalkan kestabilan parti, penerapan unsur tradisi pernah dijustifikasikan dengan tidak mengadakan pertandingan kerusi presiden dan timbalan presiden dan pengenalan sistem bonus/kuota umpamanya telah diperkenalkan pada era kepimpinan Dr Mahathir Mohamad. 

Sejarah yang berlaku ini telah menyempitkan ruang demokrasi untuk Umno sentiasa ‘menggilirkan’ kepimpinannya. 

Tidak hairanlah, presiden diletakkan sebagai sebuah institusi yang hampir sukar diganggu gugat dan diusik. 

Menyoroti 76 tahun penubuhan Umno, pertandingan kerusi presiden dikira sebagai ‘pertandingan klasik’ kerana jarang berlaku. Hanya empat kali pertandingan untuk kerusi presiden: Tunku Abdul Rahman melawan Ahmad Fuad pada 1951; Hussein Onn menentang Sulaiman Palestin pada 1978; Dr Mahathir berlawan hebat dengan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987; dan Zahid bersaing menentang Khairy Jamaludddin dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 2018. 

Setiap kali tercetusnya pertandingan kerusi presiden, maka timbul krisis perpecahan antara puak dalam parti yang bersifat quasi-bangsawan ini. Sosok yang tumpas bersama pengikutnya pula akan meninggalkan parti, menubuhkan sebuah parti baru (misalnya sejarah Semangat 46) serta terdapat beberapa pimpinan akan menjarakkan diri daripada kedudukan hierarki parti. 

Kapastiti presiden Umno sejak era Tunku Abdul Rahman (1957) sehinggalah ke era Najib Razak (2018) yang turut memegang kuasa perdana menteri telah memberi kelebihan untuknya memenangi kerusi presiden.

Dalam konteks tertentu, anggota Umno khususnya perwakilan yang bakal memilih nakhoda parti bukanlah tidak menghargai kepimpinan yang terdiri dari pelbagai ideologi dan pemikiran, cuma anggota Umno lebih memandang dan menghormati kuasa dan kedudukan kewangan berbanding bercakap mengenai pemikiran dan wawasan. 

Peluang Zahid 

Pasca PRU14 dan PRU15 merupakan tempoh pengujian untuk Zahid sebagai presiden Umno – dan adakah Zahid berupaya mengekalkan status presiden yang tidak pernah tewas dalam sejarah pemilihan. 

Buat pertama kalinya, sejak 2018 presiden Umno bukan berstatus perdana menteri. Namun, kedudukannya yang kembali berada di posisi tertinggi kerajaan sebagai timbalan perdana menteri (setidak-tidaknya) dan merangkap menteri kemajuan desa dan wilayah memberikannya semula kelebihan. 

Tambahan pula, menyokong dan menyertai pasukan presiden yang berkuasa sebagai timbalan perdana menteri secara terang-terangan bukanlah sekadar mengambil jalan selamat, tetapi berkemungkinan akan mendapatkan keuntungan.

Sebaliknya, jika menyokong dan mengikuti kem yang tidak berkuasa sekarang – meskipun sokongan atas dasar tindak balas tidak dicalonkan dalam PRU, ketidakpuasan hati berhubung prestasi presiden dalam PRU15 dan niat untuk memulihkan semula keyakinan Umno – maka besar kemungkinan anggota kepimpinan Umno tersebut akan dipinggirkan dan disisihkan. 

Umum mengetahui pendanaan dan sumber kewangan secara tidak langsung akan mengalir penyalurannya di kawasan-kawasan Parlimen khasnya di luar bandar. 

Desa dan kampung merupakan pangkalan Umno berakar umbi, beroperasi dan menawarkan politik khidmat bantuan kepada komuniti desa. Kapasiti Zahid sebagai menteri yang berperanan pada desa dilihat bertepatan dan dipandang sebagai langkah strategik Anwar Ibrahim melantiknya. 

Politik naungan, naungan politik

Tidak hairanlah apabila retorik kepimpinannya ialah Umno bukan setakat sebuah parti politik, tetapi dibingkaikan sebagai institusi pelindung orang Melayu.

Lebih-lebih lagi, pembiayaan kewangan sesebuah parti jika berada dalam kerajaan akan lebih mudah dapat disalurkan. Politik ‘penaung-dinaung’ hakikatnya telah lama terinstitusi dan bertindak sebagai sebuah mekanisme penting untuk mendapatkan sokongan undi dalam pemilihan Umno. 

Bahkan, Zahid dan pemimpin Umno yang sealirannya berada sebagai jemaah menteri (Tok Mat, Zambry Kadir, Khaled Nordin dan Azalina Othman) dikatakan adalah pasukan favourite untuk memenangi kepimpinan tertinggi Umno. 

Timbul juga persoalan, siapakah pemimpin Umno yang bakal mencabar Zahid? Persoalan ini belum jelas berikutan tiada lagi pengisytiharan mana-mana tokoh tertentu Umno dan pasukan yang dibentuknya bersedia untuk mencabar Zahid secara rasmi. Ramai yang mengandaikan Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin berpotensi menentang kem Zahid. 

Percaturan presiden

Meskipun Umno di bawah kepimpinan Zahid mengalami zaman kemerosotan dan tampak terumbang-ambing pada PRU15, peranan dan pengaruh Zahid sebagai aktor untuk Umno terus berada di koridor kuasa tidak boleh dipandang kecil. 

Meskipun terdapat kritikan bertali arus yang dilemparkan kepada Umno yang bukan lagi pendahulu politik Melayu kerana keraguan terhadap kredibiliti Zahid dalam menakhodai kempen Umno pada PRU15. 

Langkah strategik Zahid menghalang ahli Parlimen Umno untuk menyokong blok Perikatan Nasional (PN) telah membuka pintu kuasa untuk Anwar dinobatkan sebagai perdana menteri. 

Pada masa sama, Zahid berjaya membatalkan sokongan sebahagian ahli Parlimen pada awalnya kepada PN dan mengalihkan sokongan kesemuanya kepada blok Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan. Malahan semua wakil rakyat terpaksa tunduk, akur dan patuh dengan ketetapan Zahid dan pimpinan Umno.  

Suatu yang mustahak, Perhimpunan Agong Umno (PAU) pada bulan ini akan menjadi medan untuk Zahid mengukuhkan pengaruhnya memenangi kerusi presiden. 

Bantuan dan sokongan melalui perdana menteri dipandang mustahak untuk menstabilkan ‘kerajaan perpaduan’ – kehadiran perdana menteri sebagai tetamu PAU dapat dijangkakan. Ia pasti akan memberi impak kerana Anwar adalah bekas pemimpin tertinggi Umno – mengembalikan nostalgia.

Jika hujah-hujah yang disebutkan penulis di atas dijadikan sebagai duluan (precedent), pertandingan kerusi presiden Umno biasanya akan berlaku dalam bentuk “yang berkuasa beraja di hati, yang tewas akan berkelana di rimba” – seperti yang diungkapkan oleh intelektual awam Rustam Sani pada suatu ketika dahulu dalam analisisnya tentang sifat keperibadian politik Melayu. – 7 Januari 2023. 

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen