Menteri seru rakyat kembali perkukuh perpaduan


Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof meminta rakyat bersama-sama mencari titik persamaan merentasi kaum, agama dan fahaman politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2022.

SELEPAS melalui episod panjang dalam kemelut politik negara dengan pelbagai cabaran sepanjang 2022, rakyat diharap menjadikan kehadiran tahun baharu untuk kembali mencari titik persamaan dan mengukuhkan perpaduan demi kemakmuran negara.

Sempena Tahun Baharu 2023, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Fadillah Yusof juga menyeru rakyat supaya bersama-sama kerajaan perpaduan kembali bangkit untuk merangka dan menyusun atur kehidupan yang terkesan pasca-Covid-19.

“Marilah kita bersama mencari titik persamaan merentasi kaum, agama dan fahaman politik serta berpegang teguh kepada Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam hantaran di akaun Facebooknya hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu video di hantaran Facebook pula berharap rakyat akan bersama-sama memperkasakan komitmen dan terus memacu kecemerlangan pada 2023.

“Sementara cabaran yang mendatang akan kita tangani dan harungi demi Malaysia yang kita cintai, saya komited untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan. Harapan saya menjadikan Malaysia maju di bawah kerajaan perpaduan ini,” katanya yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beliau akan terus turun padang bagi mendengar dan mendapatkan maklum balas daripada pengguna pengangkutan awam, pengendali dan komuniti perniagaan.

“Mengekalkan standard kualiti dan keselamatan adalah penting bagi semua sistem pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM), bas awam, pelabuhan dan lapangan terbang.

“Dengan mengambil kira keperluan rakyat dan keadaan sebenar, kita boleh mewujudkan dasar yang sesuai dengan keperluan orang ramai. Sistem pengangkutan dan logistik yang lancar penting bagi pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Turut merakamkan ucapan tahun baharu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu yang berharap segala halangan dan cabaran yang bakal mendatang dapat dihadapi dengan tenang, berani dan bersabar.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berharap kementeriannya akan terus menjadi penggerak utama dalam pembangunan ekonomi dan taraf hidup masyarakat pada tahun baharu nanti.

“Harapan saya bidang sains, teknologi dan inovasi dapat terus memainkan peranan penting dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh masyarakat dan negara seperti perubahan iklim, jaminan makanan dan penyakit berjangkit,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri pula berkata beberapa transformasi akan dilakukan kementerian itu tahun hadapan termasuk membabitkan bahagian kanak-kanak yang tidak lagi sesuai ditempatkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Saya akan membentangkan kertas mesyuarat jawatankuasa Kabinet selepas pihak pengurusan kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat selesai menyediakan struktur dan cadangan lengkap berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pula bertekad memperkukuh peranan sebagai pemimpin kementerian yang menjadi peneraju aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

“Ia selari dengan komitmen saya sejak awal lagi untuk melakukan apa jua usaha terdaya bagi memastikan Malaysia terus menjadi negara yang aman, makmur dan selamat untuk didiami oleh semua,” katanya. – Bernama, 31 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen