Tak logik syarikat judi bayar Perikatan, kata Hadi


Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti komponen PH sebelum ini membantah kedai judi ditutup di negeri yang ditadbir PAS - Kelantan, Terengganu dan Kedah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2022.

TIDAK masuk akal untuk syarikat perjudian membiayai kempen pilihan raya umum Perikatan Nasional (PN) kerana PAS sendiri berusaha untuk menutup perniagaan mereka, kata Abdul Hadi Awang.

Presiden parti itu berkata pengendali premis perjudian boleh disifatkan sebagai bodoh kerana membiayai mereka yang mahu merobohkan institusi perniagaan itu.

“Hanya akal yang berpusing sahaja boleh menerima tuduhan yang mengatakan bahawa tauke dan syarikat judi menyumbang kepada Perikatan Nasional (PN), sedangkan sahamnya jatuh menjunam setelah mendapat maklumat kemaraan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu. 

“Sahamnya hanya naik semula, apabila Pakatan Harapan (PH) mendapat kuasa secara luar biasa daripada amalan demokrasi yang bersih,” kata ahli Parlimen Marang itu dalam satu kenyataan di Facebook.

Hadi berkata parti komponen PH sebelum ini membantah kedai judi ditutup di negeri yang ditadbir PAS - Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Pada Isnin Anwar membuat kenyataan bahawa dana PN untuk kempen pilihan rayanya datang daripada syarikat perjudian.

“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” kata Anwar dipetik portal berita Malaysiakini selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet. – 7 Disember, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen