Pemuda PKR gesa kekang segera ucapan takutkan orang Melayu


PEMUDA PKR menggesa tindakan diambil segera untuk mengekang kenyataan melampau dan angkuh yang didakwa diucapkan pemimpin Perikatan Nasional untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

Timbalan ketua pergerakan itu Kamil Munim berkata demikian dengan memberi contoh ucapan pemimpin PAS yang menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

“... (Kenyataan seperti ini) modal lama yang dikitar semula oleh PAS yang jelas berniat jahat untuk menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat Melayu dan Islam.

“Gejala ini harus dibendung segera bagi memastikan ia tidak menimbulkan keresahan dan (menjejaskan ketenteraman) awam.

“Pemimpin berkenaan harus segera berhenti menyebar dakyah kebencian tidak berasas, (dan) sebaliknya menumpukan kepada usaha membina semula negara dan memperkukuh ekonomi,” katanya.

Kamil merujuk kenyataan Ahli Parlimen Baling Hassan Saad yang kini disiasat polis kerana didakwa menuduh Anwar ejen negara haram Israel.

Siasatan itu susulan beberapa aduan dibuat ekoran sebaran satu rakaman mengandungi ucapan seorang wanita mengulas pelantikan Anwar sebagai perdana menteri.

Wanita dalam rakaman itu mendakwa Hassan memberitahunya Anwar bersekongkol dengan Israel.

Mengulas lanjut, Kamil berkata Pakatan Harapan menjunjung hak kebebasan bersuara tetapi ia tidak memberi hak menghina dan memfitnah yang ditegah oleh Islam.

“Sikap demikian juga tidak sama sekali melambangkan prinsip dan akhlak Islamiyah seperti yang dilaungkan. Bahkan tindakan tersebut adalah perbuatan yang terkutuk dan hina di sisi agama,” katanya.

Tambahnya, pemimpin Islam sepatutnya menganjurkan perdamaian dan mempamerkan akhlak kepempimpinan yang baik dan mempertahan pemimpin pengadu domba dan caci maki.

Pemerhati juga melihat ejen propaganda giat menyebarkan ucapan dan bahan berunsur perkauman melampau dan kebencian sewaktu kempen PRU15. – 30 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen