Pembentukan kerajaan baharu perlu berteras Rukun Negara, kata yayasan


Lee Lam Thye berkata, apabila menyebut mengenai perpaduan, perkara itu mesti kembali kepada asas iaitu Rukun Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2022.

PEMBENTUKAN kerajaan baharu seharusnya berprinsipkan kepada lima asas Rukun Negara yang mengandungi teras dalam mengekalkan keharmonian dan keamanan di negara ini.

Ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Perpaduan Malaysia Lee Lam Thye berkata selain memfokuskan isu ekonomi, kos sara hidup dan rasuah seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pembentukan kerajaan juga perlu mementingkan asas perpaduan.

“Ini kerana untuk menjadi sebuah negara yang kuat dan stabil, paling penting rakyat mesti ada perpaduan. Apabila perpaduan dalam kalangan rakyat kukuh, sudah pasti sesebuah negara itu akan membangun ke tahap yang cemerlang,” katanya hari ini.

Lee berkata, apabila menyebut mengenai perpaduan, perkara itu mesti kembali kepada asas iaitu Rukun Negara dan berharap prinsip itu menjadi panduan dalam membentuk kerajaan baharu.

“Kalau kita berpegang teguh prinsip Rukun Negara, saya anggap itu sebagai pendekatan paling baik dan betul ke arah membentuk kerajaan perpaduan yang kukuh dan boleh berusaha ke arah keharmonian negara,” katanya.

Dalam pada itu, Lee berkata rakyat juga perlu menghayati Rukun Negara bagi melahirkan seorang warganegara Malaysia yang cemerlang.

“Kita tidak boleh melupakan kepentingan lima matlamat yang terkandung dalam teks penuh Rukun Negara yang meletakkan mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan warganegara sebagai matlamat utama,” katanya.

Menurut Lee, sekiranya rakyat Malaysia menghayati matlamat dan prinsip berkenaan, sudah pasti ia mampu melahirkan masyarakat yang menjiwai semangat kewarganegaraan Malaysia sepenuhnya. – Bernama, 29 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen