Jawatankuasa antara parti pastikan semua Adun tuntut hak Sabah 


Sidang DUN Sabah diberitahu penubuhan jawatankuasa itu penting bagi memastikan kerajaan dan pembangkang berada di landasan sama dalam isu tuntutan hak Sabah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2022.

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini, penubuhan Jawatankuasa Antara Parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah penting bagi memastikan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), kerajaan dan pembangkang berada di landasan sama dalam isu tuntutan hak Sabah.

Semasa mengemukakan cadangan penubuhan jawatankuasa itu, Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) berkata jawatankuasa itu akan mengukuhkan kesatuan Adun bagi menuntut hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan, terutama hak 40 peratus atas hasil Persekutuan di negeri ini.

Beliau berkata dalam dinamik politik masa kini terutama dengan pembentukkan kerajaan perpaduan, kesatuan semua pihak adalah usaha penting dan inilah masanya semua Adun Sabah memperkasa kesatuan itu bagi bersama menuntut hak negeri.

“Di blok kerajaan pastinya proses perundingan akan diteruskan, sementara sebahagian kita pula telah ke mahkamah untuk menuntut hak Sabah ini. Kita boleh mencadangkan pemungutan hasil 40 peratus ini dengan hasil persekutuan yang mudah dihitung,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2023.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor, sesuai dengan pembentukan kerajaan perpaduan peringkat Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Pilihan Raya Umum (ke-15) telah berlalu dan mewujudkan politik baharu negara yang dinamik melalui kerajaan perpaduan. Sepertimana di peringkat Persekutuan, begitulah juga harapan saya di peringkat Sabah agar kita dapat menggembleng usaha dan kesatuan melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, Dr Yusof Yacob (BN-Sindumin) memohon kepada kerajaan supaya mengkaji dan menyemak semula perjanjian penyelenggaraan jalan dengan syarikat konsesi di negeri ini yang tidak melaksana tugas penyelenggaraan dengan baik.

Beliau berkata rakyat tidak mempertikai jumlah keuntungan yang diperoleh syarikat konsesi terbabit, namun apa yang penting bagi rakyat adalah syarikat konsesi itu melaksanakan tugas mereka menyelenggara jalan dengan baik.

“Rakyat mahu kerosakan (jalan) dibaiki dengan segera, tetapi alasan diterima daripada syarikat konsesi ini selenggaraan jalan adalah mengikut giliran (lokasi jalan) tidak boleh diterima rakyat, rumput panjang dan jalan dipenuhi semak samun perlu dibersihkan bukan menunggu tiga bulan sekali,” katanya.

Selain itu, Yusof berkata pihaknya juga menerima maklum balas rakyat yang memohon kerajaan memantau ketat kontraktor Lebuh Raya Pan Borneo bagi memastikan keselamatan dapat dijamin, selain kerosakan jalan dan sistem saliran dibaiki segera bagi mengelak berlaku banjir.

Dalam pada itu, Darell Leiking (Warisan-Moyog) berkata beliau turut menerima aduan daripada rakyat terdapat kejadian banjir di beberapa kawasan didakwa akibat kontraktor pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo gagal melakukan penyelenggaraan sistem saliran dengan baik. – Bernama, 29 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen