PRN Negeri Sembilan ambil kira musim haji dan perayaan, kata MB


Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata, PRN Negeri Sembilan akan mengambil kira musim perayaan dan haji. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2022.

PELAKSANAAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan mengambil kira musim perayaan dan musim haji pada tahun depan, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata, beliau akan membawa faktor itu untuk dibincangkan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Saya mengambil maklum cadangan itu (musim haji) sebagai perhatian… ada dua kemungkinan sama ada sebelum haji atau selepas jemaah balik daripada menunaikan haji,” katanya kepada pemberita di Wisma Negeri di Seremban hari ini.

Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor yang di bawah pentadbiran PH tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu, begitu juga negeri di bawah pentadbiran PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Beberapa media melaporkan PRN di enam negeri berkenaan perlu diadakan awal bagi mengelak daripada bertembung dengan perayaan dan pelaksanaan musim haji, jika diadakan selepas bulan Mac tahun depan.

Tarikh sambutan Aidilfitri tahun depan dijangka pada 22 April bergantung kepada pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja manakala Hari Raya Aidiladha pula diunjurkan pada 29 Jun, dengan penerbangan pertama jemaah haji pada 21 Mei tahun depan.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, perbincangan mengenai pelantikan Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di peringkat PH belum dibuat secara menyeluruh.

“Ini kerana Anwar perlu berbincang dengan parti lain seperti Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Setakat ini belum dibincangkan secara terperinci di peringkat PH,” katanya.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu dan memimpin kerajaan perpaduan yang dianggotai PH yang mempunyai 82 kerusi, BN (30), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (6) serta parti lain. – Bernama, 29 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen