Kedudukan ketua pembangkang Selangor diteliti selepas pembentukan kabinet, kata speaker 


Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim berkata beliau bagaimanapun masih belum mendapat arahan untuk menukar kedudukan Ketua Pembangkang DUN.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2022.

KEDUDUKAN Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mungkin diteliti semula selepas pembentukan barisan Kabinet, berikutan penglibatan Barisan Nasional (BN) dalam membentuk kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.

Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim berkata beliau bagaimanapun masih belum mendapat arahan untuk menukar kedudukan Ketua Pembangkang DUN daripada BN yang kini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Tawar Rizam Ismail kerana penyelarasan berkenaan perlu selesai di Putrajaya terlebih dahulu.

“Pembentukan Kabinet dalam masa terdekat, mungkin hari ini atau esok. Jadi kita di peringkat Selangor akan meneliti (kedudukan Ketua Pembangkang DUN). Bagi saya masih terlalu awal lagi sebab kita perlu susun di Putrajaya terlebih dahulu dan kemudian menyusul di negeri.

“Saya akan serahkan (perkara) ini kepada kebijaksanaan Menteri Besar Amirudin Shari untuk menguruskan perbincangan dan sebagainya. Sekiranya saya mendapat arahan dan maklumat, mungkin kedudukan dan sebagainya dalam Dewan itu akan disusun semula. Tetapi setakat ini belum ada lagi perkembangan lanjut daripada menteri besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini bagi mengulas berhubung kedudukan Ketua Pembangkang DUN Selangor susulan pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.

Dalam pada itu, Ng yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor secara individu tidak menolak kemungkinan bahawa PH dan BN akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun hadapan.

“Itu kemungkinan besar, walaupun saya belum dapat sebarang arahan, tapi saya secara individu sebagai seorang senior dalam politik di Selangor, melihat perkembangan ini memang ke arah itu. Kebarangkalian itu besar dan akan wujud satu konsep atau landskap baharu (politik) di Selangor,” katanya.

Sementara itu, Rizam berkata untuk persidangan DUN kali ini BN tetap berada di blok pembangkang dan beliau masih berperanan sebagai Ketua Pembangkang melaksanakan fungsi semak dan imbang serta pihaknya kini menunggu arahan lanjut daripada pucuk pimpinan berhubung status BN dalam kerajaan Selangor.

“Insya-Allah sehari dua ini akan ada mesyuarat di peringkat Badan Perhubungan Umno Selangor dan mungkin ada beberapa pengumuman oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor yang baharu (Megat Zulkarnain Omardin),” katanya.

Komposisi kerusi kerajaan di DUN Selangor terdiri daripada PKR (19), DAP (15), Amanah (enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia serta Pejuang masing-masing dua manakala PAS, Warisan dan Bebas masing-masing satu kerusi. – Bernama, 29 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen