Permohonan bantuan kebajikan dalam talian di Sabah bermula Januari


KEMENTERIAN Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah membangunkan sistem baharu permohonan bantuan kebajikan secara dalam talian beroperasi pada 1 Jan tahun depan, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Flovia Ng berkata sistem yang dibangunkan melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JKPA) itu bertujuan memberi kemudahan terutamanya kepada golongan rentan dan mereka memerlukan bantuan.

“Permohonan dalam talian ini disediakan untuk kemudahan kepada mereka yang memerlukan bagi keselesaan dan kesejahteraan mereka,” katanya menjawab soalan lisan Dr Daud Yusof (Warisan-Bongawan) mengenai usaha kementerian membantu golongan memerlukan bantuan.

Flovia berkata sistem itu boleh dilayari melalui pautan: http://jpka.sabah.gov.my.

Beliau berkata JPKA masih menyediakan bantuan bulanan kepada golongan rentan dan mereka yang masih memerlukan antaranya skim bantuan am, skim bantuan anak yatim, bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) atau pesakit terlantar.

“Segelintir penerima dihentikan bantuan disebabkan beberapa faktor antaranya penerima tidak melapor dalam tiga bulan sekali kepada pejabat kebajikan. Penerima juga berkemungkinan hilang kelayakan apabila umur kanak-kanak melebihi 18 tahun bawah kategori bantuan kanak-kanak atau telah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan II Sabah Masidi Manjun juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata kerajaan negeri telah mengutip Cukai Jualan Negeri Produk Petroleum berjumlah RM1.79 bilion sehingga semalam (28 Nov).

“Sukacita saya maklumkan bahawa jumlah hasil Cukai Jualan Negeri Produk Petroleum telah dikutip adalah lebih tinggi daripada apa yang kita jangka dan dianggarkan untuk tahun ini,” katanya menjawab soalan lisan Yong Teck Lee (SAPP-Dilantik) mengenai  jumlah cukai itu dikutip kerajaan negeri. – Bernama, 29 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen