GRS-DAP bincang komitmen kerjasama dalam kerajaan perpaduan, kata Hajiji


Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor (kiri) dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini bertemu bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk komitmen kerjasama dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim. – Gambar Facebook, 28 November, 2022.

KETUA Menteri Sabah Hajiji Noor dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengadakan perbincangan menyentuh pelbagai perkara termasuk komitmen kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

Pertemuan di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini turut disertai Ahli Parlimen Kota Kinabalu yang juga Ahli Jawatankuasa DAP, Sabah, Chan Foong Hin.

Jabatan Ketua Menteri Sabah, dalam kenyataan, memaklumkan turut menyertai Hajiji, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dalam pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan dan Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui.

Semalam, Loke dan Chan turut menyertai rombongan Hajiji mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya.

GRS terdiri daripada parti Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno). – Bernama, 28 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen