PAS kekal pembangkang, kata Takiyuddin


Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu tidak akan menyertai kerajaan Persekutuan demi menghormati kepercayaan dan mandat majoriti rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh 26 November, 2022.

PAS tidak akan menyertai kerajaan perpaduan perdana menteri Anwar Ibrahim dan akan kekal sebagai pembangkang, kata Takiyuddin Hassan.

Setiausaha Agung parti itu berkata keputusan itu dicapai selepas mengambil kira beberapa pandangan termasuk pendapat umum.

“PAS berpendapat tidak akan menyertai kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Pakatan Harapan dan DAP demi menghormati kepercayaan dan mandat majoriti rakyat.

“Khususnya para pengundi yang telah memilih PAS dan Perikatan Nasional dalam PRU15,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Dalam kenyataan sebelum ini Takiyuddin berkata pihaknya akan membincangkannya dengan sekutu PN parti itu dalam masa terdekat.

“Kami juga akan meninjau pandangan orang ramai yang memberikan sokongan menggalakkan kepada PAS dan PN pada pilihan raya umum,” katanya.

Semalam Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu tidak akan menyertai kerajaan perpaduan yang dicadangkan kerana mahu memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan.

Pengerusi PN berkata langkah ini diambil untuk memperkukuh demokrasi di negara ini dan memainkan peranan semak dan imbang kerajaan di Parlimen.

“PN akan memainkan peranannya sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen dan memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden Bersatu bagaimanapun berkata pakatan itu bersedia untuk menjalin kerjasama lain dengan kerajaan bagi memastikan kestabilan politik.

PN terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan. – 26 November, 2022.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen