Wan Junaidi saran saiz Kabinet hanya 22 menteri


Bekas menteri Parlimen dan Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencadangkan Perdana Menteri Menteri Anwar Ibrahim mengecilkan saiz Kabinet kepada 22 menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2022.

WAN Junaidi Tuanku Jaafar mencadangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecilkan saiz Kabinet kepada 22 menteri dengan menggabungkan beberapa kementerian.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata saiz Kabinet kepada maksimum 22 portfolio sahaja berbanding 31 dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob boleh dicapai.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipetik The Star berkata beliau sebelum ini mengusulkan beberapa cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan menyarankan Ismail Sabri mengecilkan saiz Kabinet sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Antara cadangan Wan Junaidi ialah penggabungan Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Penggabungan lain termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. 

Beliau juga dilaporkan berkata Kementerian Pendidikan boleh digabungkan dengan Kementerian Pengajian Tinggi.

Begitu juga katanya kementerian berkaitan perdagangan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Pembangunan Usahawan boleh digabungkan.

“Saya juga meminta JPA melihat kemungkinan penggabungan beberapa kementerian kepada maksimum 22, jika tidak 20 sahaja,” katanya seperti dipetik.

Beliau berkata Ismail pada dasarnya bersetuju dengan cadangannya untuk Kabinet yang lebih kecil.

“Oleh kerana beliau (Ismail) mewarisi apa yang dibentuk semasa Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, ia akan memakan dirinya sekiranya beliau mengecilkan kabinet ketika itu,” katanya dipetik sebagai berkata.

“Beliau (Ismail) sebenarnya bersetuju dengan cadangan saya iaitu 20 kementerian, paling banyak 22 kementerian tetapi berkata ia hanya boleh dilakukan selepas pilihan raya,” katanya.

Di bawah pentadbiran Muhyiddin, terdapat 32 menteri dan 38 timbalan menteri.

Ismail pula mempunyai Kabinet seramai 31 menteri dengan 38 timbalan menteri.

Mereka berdua terpaksa mempunyai Kabinet bersaiz besar untuk memastikan sokongan untuk mereka kekal.

Anwar yang memegang jawatan perdana menteri pada Khamis lepas semalam berkata Kabinetnya akan menampilkan barisan yang lebih kecil.

Beliau juga berkata gaji menteri mungkin akan dikurangkan.

Beliau berkata cadangan untuk mengurangkan gaji menteri dan mengurangkan saiz Kabinet sedang dibincangkan dan barisan menterinya perlu didedahkan tidak lama lagi.

“Saiz Kabinet pastinya lebih kecil dan saya meminta menteri baharu bersetuju dengan cadangan saya untuk menurunkan gaji mereka.

“Ini masih dalam proses perbincangan dan persiapan,” katanya.

Kerajaan perpaduan Anwar diwujudkan dengan sokongan Barisan Nasional, Persatuan Parti Sarawak, Persatuan Rakyat Sabah dan beberapa parti yang lebih kecil. – 26 November 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen