Pakatan terima Hindraf dan Mira rakan strategik untuk PRU14


Radzi Razak

Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) dan Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) diumumkan sebagai rakan sekutu Pakatan Harapan untuk mengukuhkan gabungan pembangkang itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, kata Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) hari ini menerima dua pertubuhan kaum India, Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) dan Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) sebagai rakan sekutunya untuk mengukuhkan gabungan pembangkang itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, kata Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir juga tidak menolak kemungkinan PH bakal meletakkan calon kaum India daripada dua badan itu pada PRU14 nanti.

“Parti-parti ini berminat untuk kerjasama dan sokong PH. Jadi kita perlu mencari tempat untuk mereka dan beri pertimbangan tentang kedudukan mereka yang tidak diputuskan lagi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini. 

Hindraf merupakan pertubuhan masyarakat yang memperjuangkan hak asasi etnik India yang muncul dalam arena politik Malaysia pada 2007, beberapa bulan sebelum PRU 2008. 

Mira pula merupakan penjenamaan semula Parti Generasi Baru yang diketuai oleh aktivis pro PH, A.P Rajaretinam.

Hindraf dan Mira sejak tahun lalu dilihat sering terlibat dalam beberapa program PH bersama masyarakat India di beberapa negeri antaranya di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.

Berdasarkan data PRU13, negeri-negeri itu mempunyai hampir 60 kerus Parlimen dengan lebih 10% pengundinya adalah kaum India. Antara kerusi Parlimen itu termasuklah Merbok (18%) dan Padang Serai (23%) di Kedah, Bagan (15%) dan Batu Kawan (23%) di Pulau Pinang serta Bagan Datoh (23%) di Perak dan Telok Kemang di Negeri Sembilan dengan 24% pengundi India.

Menurut Dr Mahathir, sokongan Hindraf dan Mira sebagai rakan strategik kaum India diyakini mampu memberi manfaat besar kepada Pakatan.

“Parti kita ini (Pakatan) ternampak dari segi persepsi orang ialah hanya (ada kaum) Melayu dan Cina sahaja.

“Tetapi kita ada ramai kaum India jadi wakil rakyat. Lagi ramai daripada MIC dalam BN sendiri walaupun parti India tak ada. Jadi kita berikan layanan istimewa kepada mereka (rakan strategik),” kata beliau.

Sesetengah penganalisis politik menyifatkan rapat umum anjuran Hindraf pada 25 November 2007 sedikit sebanyak memberikan kesan kepada peralihan undi pada PRU 2008 yang menyaksikan buat pertama kalinya Barisan Nasional gagal mendapat majoriti dua pertiga sejak 1969.

Hindraf pernah diharamkan oleh Putrajaya pada Oktober 2008 sebelum pengharaman itu ditarik balik pada Januari 2013 dan pendaftarannya sebagai sebuah pertubuhan diluluskan hampir dua bulan kemudian. – 6 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Bagus pakatan akan terus jadi.liabiliti kepada unat islam dengan masuknya hindraf kedalam gabungan itu..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan