Anwar mahu bincang isu kos sara hidup selewat-lewatnya Isnin


Kos sara hidup rakyat dan harga barang adalah fokus utama kerajaan sekarang, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Gambar Jabatan Penerangan, 25 November, 2022.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mahu mengadakan pertemuan segera dengan semua agensi kerajaan yang berkaitan isu kos sara hidup dan harga barang selewat-lewatnya Isnin ini.

Kos sara hidup rakyat dan harga barang adalah fokus utama kerajaan sekarang, katanya yang masuk ke pejabat hari pertama sebagai perdana menteri.

“Saya akan adakan pertemuan segera dengan jabatan dan agensi berkenaan dalam masa terdekat. 

“Jika mereka tiada keberatan saya mohon mereka mengadakan pertemuan khas hujung minggu atau selewat-lewatnya Isnin walaupun saya faham cuti awam,” katanya pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

“Kalau mereka agak keberatan, saya boleh tangguhkan. 

“Tetapi saya percaya, kenal dengan komitmen pegawai ini, mereka faham tugas utama kita ialah untuk meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat terutama di peringkat bawah,” tambahnya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang media di Putrajaya hari ini. – Gambar Jabatan Penerangan, 25 November, 2022.

Anwar semalam mengumumkan Isnin cuti umum, pada sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah perdana menteri di Istana Negara.

“Kalau mereka agak keberatan, saya boleh tangguhkan. 

“Tetapi saya percaya, kenal dengan komitmen pegawai ini, mereka faham tugas utama kita ialah untuk meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat terutama di peringkat bawah,” tambahnya.

Menurut Anwar, kos sara hidup rakyat kekal jadi perhatian utama kerajaan walaupun ada petunjuk baik pada kadar mata wang ringgit dan prestasi bursa saham susulan pelantikan kerajaan baharu selepas pilihan raya umum.

Katanya, biarpun ada tanda-tanda keyakinan pasaran terhadap pentadbiran kerajaan perpaduan ini, namun baginya keutamaan tetap pada isu kos sara hidup dan harga barang “yang mencengkam dan menekan kehidupan rakyat”. – 25 November, 2022. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen