Tahniah dan selamat maju jaya, kata Dr Mahathir kepada Anwar


Anwar Ibrahim dilantik timbalan kepada Dr Mahathir Mohamad pada 1993 sebelum kemudiannya dipecat dari kerajaan dan Umno kira-kira lima tahun kemudian atas dakwaan salah laku moral. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2022.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia yang baharu.

“Saya ucap tahniah kepada Anwar Ibrahim di atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia yang ke-10.

“Selamat maju jaya,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Anwar dilantik timbalan kepada Dr Mahathir pada 1993 sebelum kemudiannya dipecat dari kerajaan dan Umno kira-kira lima tahun kemudian atas dakwaan salah laku moral.

Episod itu menyebabkan hubungan antara mereka putus tetapi kembali pulih apabila mereka bersama dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum Mei 2018 untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Dr Mahathir mengetuai kerajaan PH manakala Anwar yang mendapat pengampunan diraja dan keluar penjara selepas pilihan raya bersejarah itu tidak menyertai kabinetnya.

Selama jadi perdana menteri kali kedua, Dr Mahathir berkali-kali diasak untuk menetapkan tempoh peralihan pentadbiran kerajaan kepada Anwar, sehinggalah PH tersingkir akibat percaturan politik pada Februari 2020.

Anwar selama ini menyalahkan Dr Mahathir yang didakwa cuba menggagalkan perjalanan politiknya untuk jadi perdana menteri.

Dr Mahathir sebaliknya berkali-kali menegaskan Anwar sendiri yang gagal kerana tidak mendapat sokongan untuk jadi perdana menteri.

Semalam Anwar dilantik perdana menteri yang baharu selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan pembentukan sebuah kerajaan perpaduan setelah tiada mana-mana gabungan politik mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas PRU15. – 25 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen